Adz

Thursday, February 17, 2011

Disebalik Kejadian Tembakan Anggota UPP di Kelantan - Kisah Sebenar





Dalam surat khabar yang kita baca macam ni kisahnya.....

Remaja cedera ditembak semasa serang anggota UPP
2011/02/16

TUMPAT: Seorang remaja cedera parah setelah ditembak ketika beliau bersama sekumpulan lelaki menyerang empat anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di perkarangan Hospital Tumpat, di sini, hari ini.

Remaja berumur 19 tahun itu parah akibat terkena dua tembakan di bahagian rusuk kanannya dalam kejadian pada 9.20 pagi itu kerana menyangka saudaranya, Said Mat Hassan, 56, maut akibat dikasari anggota UPP berkenaan, kira-kira satu setengah jam sebelum itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata Said ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin di sini pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.

Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.

"Melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, selepas menghantar Said ke hospital, anggota UPP itu pergi minum di sebuah kedai makan berdekatan hospital berkenaan dan tiba-tiba lima kenderaan dinaiki sekumpulan lelaki berhenti di hadapan mereka.

"Beberapa lelaki bersenjatakan cota terus meluru dan menyerang keempat-empat anggota UPP. Akibat serangan bertubi-tubi, salah seorang anggota UPP melepaskan satu das tembakan amaran ke udara," katanya.

Beliau berkata, tembakan itu tidak diendahkan kumpulan itu dan anggota UPP itu terpaksa melepaskan lagi tembakan bagi melindungi diri dan mengenai remaja berkenaan.

"Remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun dia terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu kerana keadaannya yang parah.

"Keempat-empat anggota UPP yang cedera itu pula dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tumpat," katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ibu remaja terbabit yang ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu di sini berkata beliau terkejut apabila melihat anaknya rebah berlumuran darah akibat ditembak di depan matanya.

Katanya, ketika itu dia ke Hospital Tumpat untuk menziarahi jenazah Said. - BERNAMA




Dan cerita sebenar dari saksi - saksi kejadian begini pulak ceritanya.......


Rasanya KP Kelantan telah diberi maklumat yang salah oleh anggota yang membuat laporan. beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh KP Kelantan bercanggah dengan apa yang diceritakan oleh beberapa saksi kejadian yang ditemui oleh pihak kami.

Antaranya ialah berkenaan dengan laporan yang mengatakan bahawa anggota UPP terbabit diserang oleh mangsa yang ditembak.

Menurut saksi, mangsa yang ditembak tidak menyerang anggota UPP terbabit sebaliknya beliau berada agak jauh dari kumpulan orang kampung yang menyerang anggota UPP berkenaan tetapi tiba-tiba beliau ditembak tanpa disangka-sangka.

Anggota UPP terbabit juga dikatakan tidak langsung melepaskan tembakan amaran diudara sebaliknya terus sahaja menembak mangsa yang mana sebutir peluru mengenai sebelah kanan perut mangsa dan sebutir lagi peluru mengenai sebelah kanan dada mangsa.

Mangsa juga disyaki ditembak dengan sengaja kerana mangsa sebelumnya telah menyaksikan kejadian 4 orang anggota UPP terbabit membelasah Allahyarham Sa'aid sehingga lembik, malah mangsa juga dikatakan melihat bagaimana Allahyarham Sa'aid dipijak tubuh badannya oleh anggota UPP terbabit walaupun keadaan mangsa ketika itu sudah tidak bermaya.

Kenyataan KP Kelantan berkenaan tembakan yang dilepaskan juga bercanggah dengan apa yang berlaku. dilaporkan bahawa anggota UPP terbabit telah melepaskan 2 das tembakan dimana tembakan pertama berupa tembakana amaran di udara manakala tembakan ke 2 ialah untuk mempertahankan diri akibat serangan orang ramai.

Jika hanya 2 das tembakan dilepaskan termasuk tembakan amaran, bagaimana mangsa yang ditembak menerima 2 kesan tembakan iaitu 1 di bahagian kanan dadanya & 1 lagi di bahagian kanan perutnya?

Apa yang menjadi persoalan ialah, kenapa ketika kejadian, mangsa yang juga saksi kejadian sebelumnya menjadi mangsa tembakan? adakah ianya secara kebetulan atau adakah kerana beliau ialah "SAKSI" utama kejadian sebelumnya?

Dalam laporan tersebut juga dinyatakan bahawa anggota UPP terbabit menemui Allahyarham Sa'aid di dalam keretanya di tepi jalan dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulut berbuih.

Disini juga timbul persoalan. sekiranya begitulah keadaan mangsa, ianya menyerupai simptom sawan. Allahyarham tidak mempunyai rekod penyakit sawan dan yang lebih menghairankan lagi, kenapa dalam keadaan begitu, kereta yang dipandu oleh Allahyarham tidak terbabas sebaliknya berada di tepi jalan?

Apakah dalam keadaan tersebut, mangsa sempat memberhentikan keretanya di tepi jalan seperti mangsa berada dalam keadaan yang sihat?

Apa yang diceritakan oleh saksi ialah, mangsa (Allahyarham Sa'aid) sebelumnya telah dikejar oleh anggota UPP terbabit kemudian mangsa kemudiannya telah berhenti dan menyerah diri. sebaik sahaja menyerah diri, 4 anggota UPP terbabit telah bertindak menyerang dan membelasah mangsa sehingga mangsa tidak lagi berupaya untuk berdiri. dalam keadaan yang lemah tidak mampu berdiri, mangsa dipijak-pijak oleh anggota UPP terbabit sehingga tidak sedarkan diri.

Ini cerita sebenar yang dimaklumkan kepada pihak kami oleh saksi-saksi seramai lebih dari 10 orang yang ditemui.

Kita berharap agar kejadian ini disiasat dengan terperinci dan kita tidak mahu Allahyarham Sa'aid & Adik Ahmad Nizamudin menerima nasib yang sama sepertimana yang menimpa Mendiang Kugen, Teoh Beng Hock, Atlantuya, Adik Aminurrasyid dan lain-lain mangsa keganasan pihak berkuasa.

Negara ini Negara yang mempunyai undang-undang. jika pihak-pihak yang sepatutnya menegakkan undang-undang tidak mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut, pada siapa lagi mahu kita harapkan?



dari sumber http://sedakasejahtera.blogspot.com/2011/02/kisah-sebenar-tragedi-anggota-upp-pukul.html



No comments:

Post a Comment