Adz

Saturday, January 1, 2011

Hikayat Khairy Jamaludin - Lebih Laju, Lebih Tinggi, Lebih Perkasa - BAB 23

BAB 23
Lebih laju, lebih tinggi, lebih perkasa


Khairy Jamaluddin hanya terlibat dengan satu pertubuhan sukan -
FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Sultan Pahang yang bijak,
mahu mendekati anak muda yang kononnya akan menjadi Perdana
Menteri satu hari nanti, telah menawarkan satu jawatan Exco kepada
Khairy. Tidak kiralah kalau si Khairy ini jenis kaki bangku dan tidak
pernah menendang bola dalam hidupnya. Seorang lagi pencadang
kemasukan beliau ialah Redzuan Sheikh Ahmad, adik kepada Setiausaha
Agung Umno Radzi Sheikh Ahmad, yang lebih berminat dengan wang
Khairy dan cara bagaimana dia boleh mengaitkannya dengan usaha
yang ada kaitan dengan bolasepak di Malaysia. Khairy pun tidak
kisah sangat akan perkara ini. Sifat sama-sama bantu membantu tentu
membawa faedahnya. Lebih-lebih lagi setelah melihat sokongan rakyat
terhadap Abdullah Ahmad Badawi sudah semakin tipis dan kesabaran
anggota Umno dengan kerakusan ahli keluarga Abdullah sudah semakin
membara.
Khairy hanya taksub dengan lumba lari pecut 100 meter. Sejak pada
mula dia berpolitik Khairy memang tidak berminat menjadi pelari jarak
jauh ataupun marathon, iaitu bersabar mencampuri golongan tua dan
menunggu gilirannya tiba. Khairy amat ghairah mahu menyingkir pihak
pembangkang dan mahu melonjakkan dirinya menjadi Perdana Menteri
Malaysia yang paling muda. Memang dia sedang melalui lorong itu.
Cuma wujud beberapa hambatan dan Khairy mahu menghumbannya
semua. Dalam tahun yang mendatang dia akan cuba yang terbaik untuk
mengenepikan hambatan itu semuanya dan melicinkan laluannya ke
puncak kuasa.
Kini, dia perlu bertindak lebih pantas daripada yang dirancangnnya
dulu. Serangan betubi-tubi yang dibuat melalui surat layang oleh
tandingannya dalam Umno, seperti Khir Toyo dan Hishammuddin
Hussein, menyebabkan Khairy kehilangan hubungan baik dengan akar
umbi. Kisah pilihan raya kecil Pengkalan Pasir telah mencelikkan anggota
pergerakan Pemuda Umno bahawa Khairy bukanlah jagoan seperti yang
disangka mampu menarik sokongan padu. Dakwaan Khairy yang dia
adalah umpama obor kepada generasi baru yang akan menarik sokongan
golongan muda di negara ini ternyata satu gembar-gembur sahaja.
Undi golongan muda sebanyak 2,000 yang dijanjikannya dulu tidak
pun menjadi kerana mereka yang menyokong beliau adalah golongan
yang lebih tertarik kepada wang yang dihulurkannya dan bukan kerana
karismanya
Dalam impian besarnya, Khairy mahukan 2006 ini sebagai tahun di mana
dia memainkan peranan besar. Kerana itu dia telah melakukan rencana
untuk beberapa perubahan.
Berikut adalah senarai impian Khairy bagi 2006:


1. Mempengaruhi rombakan kabinet
Satu rombakan kabinet memang sudah patut dilakukan. Kabinet saiz
XXL pimpinan Abdullah Badawi yang diwujudkannya selepas pilihan
raya umum yang lalu memang ternyata lemah dan tidak bermaya.
Pilihan Abdullah ketika itu telah dipengaruhi bayangan Dr. Mahathir
dan keperluan memberi habuan kepada beberapa malaun yang telah
membantu beliau meniti laluan ke puncak jawatan Perdana Menteri.
Namun demikian dia gagal mengotakan janjinya dan sejak itu kabinet ini
sudah menggelongsor menjadi Kabinet Dunia Ketiga dengan pemikiran
Dunia Ketiga juga.
Khairy memang ghairah mahu menunjuk bagak. Dia mahu menghumban
ataupun sekurang-kurangnya mengecutkan kuasa beberapa orang
menteri kanan yang telah memperlekeh kuasanya – Samy Vellu, Lim
Kheng Yaik dan Rafidah Aziz telah lama mengetap gigi dan tidak pernah
akur kepada Khairy sebagai menepati jangkaannya. Menteri-menteri ini
akan berada di pusingan akhir larian mereka ditempatkan di kementerian
yang tidak bermakna ataupun dibayangi menteri muda yang mengkaji
daripada mereka untuk memainkan peranan utama.
Khairy tentu mahu menaikkan pangkat para pembodeknya. Beliau
mahukan jawatan yang lebih tinggi untuk Noh Omar, Shaziman Abu
Mansor, Adham Baba dan menarik masuk anggota kabinet orang-orang
seperti Ahmad Shabery Cheek. Untuk berbuat demikian beberapa
pemimpin lama mesti ditendang keluar dan semua pemimpin pelapis ini
dianugerahkan jawatan yang bertanggungjawab.
Rombakan kabinet yang dijangka dilaksanakan antara sekarang hingga
pilihan raya umum di Sarawak adalah satu alat yang berguna untuk
menakutkan saingan tertentu. Sebagai contoh, Khairy kerap memberitahu
orang bahawa Hishammuddin Hussein, tidak menunjukkan ‘keupayaan’
sebagai seorang Menteri Pelajaran. Khairy telah menabur bibit keraguan
ini dengan menuduh Hishammuddin terlalu sibuk dengan melantik
terlalu ramai Pegawai Khas di kementeriannya. Malah, Hishammuddin
mempunyai 15 orang pegawai semacam itu, yakni dua kali ganda
bilangan pegawai yang dimiliki oleh Perdana Menteri sendiri. Khairy
mahu Hishammuddin sedar kalaulah dia dikekalkan menerajui portfolio
yang perkasa, ia terjadi hanya dengan ihsan anak menentu yang serba
perkasa.


2. Menyingkirkan Khir Toyo
Khairy rapat dengan Dato Kamarulzaman Zainal, Pengarah Bahagian
Berita dan Berita semasa di TV3. Mereka mempunyai urusan untuk
menyerang Khir Toyo pada apa juga kesempatannya. Setakat ini mereka
sudah mencapai sedikit kejayaan. Akan tetapi Khir tidaklah sedungu
yang mereka fikirkan. Dia berselindung di sebalik Timbalan Perdana
Menteri Najib Tun Razak dan menggunakan hubungan baik melalui
anak Dr. Mahathir, Mokhzani untuk menjaga kedudukannya. Setakat ini
Khir berjaya menepis ancaman daripada kumpulan setiakawan Abdullah
di Selangor dengan memberikan mereka tugas khas yang sukar mereka
laksanakan dan memberikan portfolio yang cukup bermasalah.
Dengan munculnya 2006, Khairy akan cuba sedaya upayanya melalui
media untuk mencemarkan nama Khir Toyo agar dia jatuh terduduk. Buat
masa ini Khairy sedang merancang satu pendedahan melalui satu akhbar
berbahasa Inggeris mengenai peranan Khir dalam meluluskan beberapa
projek dalam kawasan tanah tertentu kepada sanak-saudara isteri beliau,
Zaharah Kecik dan beberapa kroni yang lain. Kisah itu akan dimulakan
dengan menyerlahkan satu skandal pencemaran alam dan berakhir
dengan persoalan mempertikaikan wibawa Menteri Besar itu sendiri.
Dengan cara itu, dan dengan bantuan TV3 Khairy mengharapkan Khir
akan tunduk untuk berundur setelah namanya tercemar dan tidak mampu
bertanding lagi.
Khir Toyo memang berkemungkinan terus menjadi pencabar Khairy
yang paling menyerlah. Baik sebagai bakal Ketua Pemuda Umno
ataupun sebagai penanding jawatan Naib Ketua pergerakan itu. Khir
Toyo memang menerima sokongan baik daripada peringkat akar umbi
walaupun dia kerap dicemuh oleh orang lain yang bukan menjadi ahli
Umno. Keunikan Khir Toyo terletak kepada sikap beliau mengagihkan
apa yang dibalunnya dengan pemimpin lain. Sebagai contoh, Khir Toyo
tidak pernah lupa memberikan wang tunai kepada ratusan ribu anggota
Umno di peringkat bahagian Selangor untuk mereka memanjangkan pula
sogokan itu kepada ahli-ahli biasa. Khairy tidak berbuat begitu dan dia
hanya memberikan hadiah dan imbuhan kepada kawan rapat dan mereka
yang menjilatnya. Kesannya, walaupun kedua-dua tokoh ini memang
korup, Khir menjadi seorang ahli politik yang sungguh popular.


3. Menaikkan Wan Farid ke jawatan yang lebih tinggi
Wan Farid Saleh ialah seorang sekutu Khairy yang terbaru di Jabatan
Perdana Menteri. Sebagai seorang Setiausaha Politik kepada Perdana
Menteri, Wan Farid telah memainkan peranan sebagai tukang buka pintu
kepada Khairy secara tidak rasmi di pejabat itu. Satu ketika dulu, Khairy
sendiri telah memainkan peranan yang sama, kini kerana kesibukan dia
menyandarkan harapan kepada Wan Farid seorang ahli politik berusia
42 tahun dari Terengganu. Lantas, Wan Farid pun menjadi seorang
pengutip tol daripada para peniaga yang cuba bertemu Perdana Menteri
dan mendapatkan mohor kelulusan untuk projek mereka. Begitulah
berjayanya Wan Farid dengan tugas itu, tidak lama lagi dia akan dilantik
sebagai seorang senator. Kalau apa yang didesas-desuskan ada intinya,
tidak lama lagi Wan Farid akan disungkit ke atas lagi menjadi seorang
menteri. Sudah tentu dia tidak akan terlupa budi yang ditaburkan oleh
Khairy.
Setakat ini Wan Farid telah berjaya mendapatkan satu peruntukan besar
daripada royalti minyak Terengganu untuk satu projek salah seorang
kawan kesayangan Khairy yang bernama Patrick Lim. Peniaga yang
menerbangkan Khairy ke sana ke mari dengan jet peribadinya baru
sahaja mendapat peruntukan bernilai RM89 juta daripada Dana Khas
Terengganu, tanpa perlu merujuk perkara itu kepada Menteri Besar,
Idris Jusoh ataupun Exco Negeri. Itulah urusan yang dilaksanakan oleh
Wan Farid dengan kepastian yang Khairy menerima habuannya juga.
Sepatutnya dana itu disalurkan kepada projek pembangunan masyarakat
termiskin tetapi sebaliknya telah dilencongkan kepada pembinaan
kompleks pelancongan, bangunan membeli-belah (shopping mall) dan
kondominium. Projek yang sengaja disungkit tinggi nilainya melebihi
40% untuk membolehkan peniaga Cina itu menyediakan keuntungan
yang selesa kepada Wan Farid dan Khairy.
Pada tahun 2006 ini, salah seorang tokoh yang akan menonjol ialah
Wan Farid. Kini, Khairy sedang merancang apakah Wan Farid mesti
ditonjolkan ke tengah lagi untuk dijadikan seorang menteri, ataupun
dibiarkan memainkan peranan sebalik tabir dengan tujuan memeram
pengetahuan umum mengenai rahsia yang berlegar di pejabat Abdullah.
Apa pun, mereka berdua akan menjadi lebih kaya-raya berjuta-juta
menjelang Tahun Baru ini.


4. Melanyak Reezal Merican
Ada segelintir puak yang begitu dungu memikirkan bahawa disebabkan
Reezal Merican dan Khairy pernah sama-sama bekerja di satu pejabat
dan mereka sama-sama menganggotai barisan Exco Pemuda Umno,
mereka harus menjadi sahabat karib. Sebenarnya jauh panggang dari api.
Reezal Merican amat membenci Khairy sebaik sahaja si hingusan mula
melangkah masuk koridor kuasa. Mereka mempunyai perasaan yang
sama –Khairy turut merasakan bahawa Reezal Merican yang merupakan
lulusan UIA adalah memang dungu juga, lembab dan tidak berguna selain
hanya mampu membaca sedikit doa. Apabila Khairy menjadi semakin
berpengaruh, Reezal cuba mencuri peluang untuk berbaik semula, tetapi
Khairy terus menganggap Reezal dengan kebenciannya.
Kesilapan besar Reezal dalam kemelut GPMS dan mencabar anak didik
Anwar Ibrahim yang menjadi Presiden persatuan pelajar itu, Suhaimi
Ibrahim telah digunakan sebaik mungkin oleh Khairy untuk mencemar
nama Reezal seterusnya. Sekarang pun sudah ada salinan tuntutan Reezal
yang sumbang (tidak munasabah) ke atas Kementerian Kewangan. Sebagai
Setiausaha kepada Menteri Kewangan Pertama, Reezal mendapat sedikit
peruntukan yang dikira elaun khas (out of pocket allowance) untuk tugas
rasminya. Akan tetapi Reezal juga membuat tuntutan lain kepada akaun
ini, termasuk jamuan yang ada kaitan dengan politik, makan malam
alumni UIA, dan mesyuarat GPMS. Satu lagi sebab kenapa Khairy
marahkan Reezal ialah kerana usaha Reezal mencari sokongan dalam
usahanya mahu menandingi Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda Umno
yang akan datang. Reezal telah menggunakan satu jaringan alumni UIA,
yang kini bertugas sebagai pegawai khas kepada menteri tertentu untuk
menyokongnya. Kerana itu Khairy bertindak bahawa bila muncul 2006
Reezal akan menerima padahnya.


5. Mengepit sayap Najib (Clip Najib’s wings)
Selama ini Khairy telah mengharapkan agar Najib akan terus lalai
terhadap usaha beliau mencabarnya. Lagi pun Najib mempunyai banyak
masa menunggu dan puak-puak Khairy telah bersedia menghayalkan
Najib agar berfikir bahawa Khairy memang mahu berbaik dengannya.
Sudah banyak kali Khairy menyebut betapa Najib adalah seorang
pemimpin yang berwibawa dan menteri yang paling setia dalam kabinet
masa kini.
Itulah ungkapan Khairy yang paling terkenal! Tetapi, Khairy tidak pernah
alpa dalam usahanya menjatuhkan Najib. Hanya satu alasan kenapa Khairy
tidak bertindak tegas setakat ini, kerana dia belum begitu perkasa untuk
menepis sokongan yang diberikan kepada Najib oleh bekas penyokong
kuat Dr. Mahathir dan pemimpin Umno lain yang amat ragu ura-ura
Khairy mahu membawa masuk semula Anwar Ibrahim menganggotai
Umno. Satu lagi alasan kenapa Khairy setakat ini masih gagal bertindak
ialah kerana Najib mampu meraih sokongan para pemimpin akar umbi
dengan lebih berkesan berbanding kemampuan sepadu Abdullah Badawi
dan Khairy. Lagi pun, sudah ada perasaan tidak puashati di kalangan
akar umbi Umno terhadap kepimpinan Abdullah yang dianggap begitu
lembik dan lemah sehingga tidak mampu mencegah kerakusan anak
menantunya. Faktor ini tidak boleh diperlekeh begitu sahaja. Sejak
berakhirnya pemilihan Umno yang lalu, tumpuan tidak senang hati itu
telah tertumpu pada bahu Khairy dalam pertandingan antara Abdullah
dan Najib. Abdullah akan kalah teruk. Itu sebabnya Khairy tidak boleh
bertindak sekarang tanpa melakar satu rencana yang begitu jitu dan
mantap bagaimana mahu menumpaskan Najib.
Untuk mengepit sayap Najib, Khairy bercadang berbuat perkara ini:


I.    Nyahkan penyokong Najib daripada menganggotai kabinet.
II.   Kalahkan calon-calon pilihan Najib dalam pertandingan peringkat
       bahagian dan cawangan.
III.  Hancurkan ketokohan Najib dengan menggunakan media.


Di samping itu kekuatan ekonomi Najib mesti dijerut. Kemunculan dan
kemaraan CIMB yang dipimpin oleh adik Najib, Nazir Razak bukanlah
satu sasaran utama kerana kekurangan peluang untuk mewujudkan satu
skandal dalam syarikat awam seperti itu. Lagi pun Nazir ialah seorang
peniaga yang begitu tulus. Namun demikian, adik-adik Najib yang lain
telah terlibat dengan beberapa urusan di sebalik tabir dengan bakal
musuh Khairy dalam dunia perniagaan, termasuk segelintir peniaga
Melayu dan Cina. Adik-adiknya ini, khususnya Nizam dan Johari Razak
adalah sasaran utama Khairy. Pada tahun mendatang, beberapa urusan
rahsia mereka akan didedahkan kepada umum oleh sahabat-sahabat
Khairy di media dan ini akan memberikan satu tamparan hebat kepada
Najib sebagai seorang ahli politik yang bergelumang dengan kronisme,
seperti yang pernah diamalkan oleh Dr. Mahathir Mohamad.
6. Memusnahkan legasi Dr. Mahathir
Musuh ketat Khairy bukanlah ahli-ahli politik yang baru naik tetapi orang
yang sudah lama naik, Dr. Mahathir Mohamad. Tun Dr. Mahathir terus
menjadi sasaran utama kerajaan Abdullah Badawi. Rakyat umum memang
sedar bahawa Dr. Mahathir tidak berapa suka dengan beberapa tindakan
Abdullah, bukan kerana dia memikirkan segala dasar itu bercanggah
dengan legasinya, tetapi kerana Dr. Mahathir sebenarnya percaya bahawa
banyak dasar itu telah digubal oleh Khairy dan para penjilatnya di Ethos
Consulting dan ECM Libra hanya untuk memperkayakan diri mereka.
Walaupun ada segelintir pihak yang berkata bahawa Dr. Mahathir
melaksanakan perkara yang serupa kepada kroninya dulu, Dr. Mahathir
percaya bahawa rencananya dulu telah melahirkan ramai Melayu yang
kaya raya yang diharapkannya dapat membina satu kelas Melayu yang
berjaya dan kaya dalam dunia niaga. Dr. Mahathir menganggap bahawa
Khairy hanya melakukan kerja-kerja untuk memperkayakan diri dan
mengisi koceknya sendiri sahaja. Dr. Mahathir sendiri yakin betapa
Abdullah berbuat silap besar dan tidak berpijak di bumi nyata dalam
pembangunan nasional. Dr. Mahathir menganggap kerajaan Abdullah
sudah menjadi begitu berbahaya untuk dibiarkan terus berkuasa.
Untuk 2006 ini, Dr. Mahathir telah memasang niat untuk mendedahkan
apa yang dianggapnya sebagai kesilapan Abdullah dan menggunakan
segala kritikan untuk menyerang Khairy secara berhelah. Khairy mungkin
mampu menyerang balas kritikan pemimpin Umno yang lain, untuk
menyerang balas Dr. Mahathir bukanlah semudah yang disangkanya.
Khairy tidak boleh bersuara lantang dan bersikap kurang ajar terhadap
Dr. Mahathir seperti yang ditunjukkannya kepada Najib, Ali Rustam,
Muhiyuddin, Khir Toyo dan pihak lain yang sekandang dengannya.
Sesungguhnya Mahathir sudah merupakan satu masalah besar Khairy di
bidang seranta.
Mungkin pada 2006 ini, Khairy akan berjaya ke atas Dr. Mahathir.
Sementelahan pula, Dr. Mahathir sudah mencecah usia 81 tahun dan baru
sahaja pulih daripada kejutan kecil serangan lemah jantung. Pihak media
telah berbohong dengan melaporkan bahawa itu adalah satu pemeriksaan
biasa sahaja. Memang tidak boleh dijangka bahawa Dr. Mahathir akan
terus bertenaga untuk melancarkan satu cabaran perkasa terhadap Khairy.
Apabila Dr. Mahathir mengendurkan serangan disebabkan masalah
kesihatannya, apakah tidak mungkin Najib turut berbuat demikian juga
dengan kesedaran bahawa penyokong kuatnya tidak lagi bersama beliau
untuk membantu menepis serangan yang bertubi-tubi itu?


7. Balun RM300 juta lagi.
Khairy memang faham bahawa hukum pertama dalam politik Umno
ialah membalun banyak wang untuk membeli undi. Setakat ini Khairy
sudah pun berjaya dalam penjualan saham syarikat yang ada kaitan
dengan kerajaan kepada pihak tertentu, termasuk syarikat pelaburan
negara asing. Khairy sudah pun mewujudkan satu dana yang lebih
besar daripada simpanan dana Hishammuddin Hussein dan beliau telah
bernasib baik apabila pihak pembangkang tidak menyerang beliau
sekerap mereka menyerang pemimpin Umno yang lain. PAS tidak faham
kaedah Khairy yang begitu kompleks dalam menghasilkan dana rahsia
melalui aktiviti korporat kerana pakar-pakar ekonomi terbaik PAS
seperti Dr. Rosli Yaakob, Husam Musa dan Dr. Dzulkifli Ahmad adalah
pedagang kelas dua yang lebih selesa dengan penjualan pil susu kambing
berbanding kewangan yang tinggi-tinggi. DAP pula tidak berapa faham
akan dunia GLC untuk memahami putar belit urusan kewangan Khairy.
Kumpulan Anwar Ibrahim pula tidak tahu menahu langsung apa yang
sedang berlaku, kecuali sedikit perkara yang mereka sudah tahu dan
perlu diperam dulu seandainya Khairy akan menjadi rakan sekutu yang
diharap dapat membawa masuk Anwar menyertai Umno semula.
Sementara itu, ketika pembangkang terus tidur nyenyak, Khairy masih
terus berurusan. Pembelian 3% saham ECM Libra yang dilaksanakan
baru-baru ini adalah satu persiapan untuk syarikat itu membalun lebih
banyak usaha dagang lagi dalam penjualan ‘non-core-assets’ kerajaan.
Adalah menjadi kesulitan untuk mewajarkan pembayaran komisen kepada
Khairy seandainya beliau terus menjadi seorang pekerja berbanding
menjadi seorang pemegang saham di ECM Libra.
Yang amat pasti, pada 2006 nanti, akan bermulalah satu proses untuk
menyahkan beberapa alat kewangan yang pernah digunakan oleh Khairy
sebelum ini yang menggambarkan satu perubahan tetapi akan muncul
sebagai satu hambatan kepada kejayaan beliau akhir nanti. Pada akhir
2006 nanti akan tamatlah kontrak pengasas Binafikir dan Pengarah
Urusan Khazanah, Azman Mokhtar. Tidak lama lagi beliau tidak lagi
diperlukan dan Khairy akan mampu memainkan peranan sendiri ataupun
melantik orang lain yang kini berada di tahap pelapis pengurusan
Khazanah untuk memanaskan kerusi pengurusan atasan sambil Khairy
terus membogelkan setiap institusi kerajaan daripada segala intan
permatanya
Begitu juga halnya dengan Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamed
Yakcop yang sudah pun melepasi tarikh pelupusannya. Nor Mohamed
yang memang pandai bercakap dan berseloka lengkap dengan titisan air
mata itu sudah pun melepasi tugasnya menonjolkan satu pentadbiran
yang bersih dan tulus ikhlas dalam semua perniagaan yang berkaitan
kerajaan. Kini, Khairy yakin negara ini memerlukan tenaga muda pula
yang sudah tentu akan turut taat dan setia untuk terus menjilat Khairy
sahaja. Nor Mohamed akan digugurkan daripada menjadi Menteri
Kewangan Kedua tidak lewat daripada akhir 2006.
Apa pun yang terjadi pada 2006, ia akan menjadi tahun matlamat Khairy
yang mahu mencapai impiannya. Segala objektif jangka pendek yang
dipaparkan di atas adalah awalan kepada usaha Khairy mahu mendapatkan
satu kerusi Parlimen, dan ini berkemungkinan dilakukan melalui satu
pilihan raya kecil pada 2007 membolehkan beliau menganggotai kabinet
serta-merta selepas Pilihan Raya Umum yang kedua belas.
Perhitungan masa untuk Khairy merangkul jawatan Perdana Menteri yang
bermula hanya empat tahun yang lalu cuma tinggal kurang dari satu dekad
sahaja lagi. Khairy memang tidak membuang masa. Begitu juga semua
musuhnya. Buat masa ini, segala tumpuan adalah terhadap memudahkan
impian Khairy, sedangkan semua penentang beliau nampaknya semacam
menuju hala tempat sembelihan yang akan memusnahkan impian politik
mereka.



No comments:

Post a Comment