BAB 27
Muslihat Baru: Terhempas dan Terbakar
Kerajaan Abdullah Badawi memulakan tugasnya dahulu dengan
banyak janji yang diperkukuh dengan pelbagai ikrar, resolusi,
manifesto dan jaminan. Untuk seketika, rakyat Malaysia menjadi
terpesona dengan dongengan bahawa zaman gelap di bawah cengkaman
Dr. Mahathir Mohamad sudah pun berlalu dan pelbagai perubahan akan
datang melanda laksana gelombang Tsunami untuk membersihkan segala
bencana silam dan menguburkan legasi Dr. Mahathir dalam lembaran
buku sejarah.
Memang, mereka membayangkan bahawa zaman ceria akan kembali
semula, kononnya dan ada pula yang menganggap isu itu sebagai fantasi
semata-mata. Sebagai manusia yang tidak sofistiket dan memilih sangat,
kita memberikan ruang dan menepis keraguan sebagai memberi laluan
kepada seorang insan yang selama ini kita gelarkan sebagai ‘Mr. Clean’–
walaupun tidak ada sebarang alasan kenapa gelaran semacam itu harus
dikurniakan ke atas seseorang yang tidak pernah didedahkan kepada
nafsu menjadi seorang yang rakus. Hakikatnya, selama ini Abdullah tidak
pernah berupaya menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk
meraih kekayaan semata-mata kerana tidak ada kedudukan yang strategik
di mana dia boleh mengaut keuntungan yang banyak dan mudah. Dengan
demikian, dia terus dilihat seolah-olah papa kedana berbanding dengan
menteri-menteri yang lain, bukan disebabkan itu menjadi pilihannya.
Justeru dia dianggap seorang yang mempunyai imej yang bersih lagi
bersih. Bukanlah disebabkan ketiadaan usaha mahu mencuba tetapi
kerana kurangnya memunggah harta karun yang membuatkan Abdullah
seolah-olah tercungap menjadi Mr. Clean berbanding rakan-rakan lain
sekandang dengannya dalam kabinet.
Selepas lebih dua tahun Abdullah memegang tampuk kuasa, segala
gembar-gembur yang disebar oleh pembantu Abdullah, yang dipelopori
oleh Khairy Jamaluddin membuatkan masyarakat umum mula naik loya.
Sebelum itu kelemahan seorang insan yang tidak mampu menanggung
jawatan tinggi di negara ini memang mudah disorok-sorok di sebalik
selaput apa yang disebut inisiatif baru dan perbezaan gaya pengurusan.
Malangnya, buat Abdullah, sesuatu krisis yang remeh pun boleh
membesar menjadi satu masalah besar yang dihadapinya. Sesungguhnya,
Abdullah memang tidak berkelayakan langsung untuk menguruskan
sebuah kerajaan, tidak kiralah kalau menerajui satu perdebatan
dalam kabinet yang rutin di mana dia kerap tertidur di tengah-tengah
perbahasan itu, ataupun di forum antarabangsa di mana ada kalanya dia
terlupa apakah Presiden negara yang sedang ditemuinya ketika itu. Ada
kalanya Abdullah boleh dianggap persis Ronald Reagan Malaysia, yang
mudah tersilap, tetapi nyata menawan walaupun memang begitu lemah
dalam memahami segala dasar, dan sudah pastinya merupakan seorang
pemimpin yang begitu rendah inteleknya yang pernah menerajui satu
tampuk kuasa negara.
Yang paling menjadi masalah besar kepada Abdullah ialah sikap tidak
menepati masa. Walaupun pentadbiran beliau cuba memanjangkan
ketokohan kuasanya dengan melambatkan segala-galanya dengan
kewaspadaan yang terunggul, orang yang paling rapat dengan beliau -
termasuk kaum keluarganya yang terdekat – ternyata tidak sabar lagi,
gelojoh dan tamak haloba dalam usaha membesarkan tembolok masingmasing.
Abdullah menutup matanya terhadap salahguna kedudukan
kerajaan yang dilakukan oleh suku-sakat Khairy yang berlagak laksana
burung unta yang menyorokkan kepala di dasar pasir. Kekayaan
mendadak Scomi, ECM Libra, Ethos Consulting, Binafikir dan Dewina
boleh dilupakan begitu sahaja kerana Abdullah mudah buka kelentung
dengan pembohongan bahawa dia tidak tahu-menahu dan ada kenamengena
dengan Pergerakan ataupun aktiviti mereka semua.
Memang, pada satu tahap ada sedikit kebenaran dalam perkara itu.
Abdullah memang tidak terlibat secara langsung dengan usaha adiknya,
adik iparnya, anak lelakinya menantu lelaki ataupun perempuannya dalam
karenah mereka membalun harta karun selama dua tahun yang berlalu.
Akan tetapi tidak pula beliau mengambil inisiatif untuk mengingatkan
mereka agar jangan gelojoh. Abdullah begitu memanjakan mereka
sehingga tidak tergamak melihat apa yang mereka lakukan itu sebagai
perbuatan yang salah. Malangnya, dengan pemergian Endon Mahmood,
segala brek untuk melemahkan proses tamak haloba itu sudah tidak ada
lagi. Kumpulan yang berpaut di sekeliling Abdullah terdiri daripada
anggota keluarga yang masih muda dan rakus serta tamak haloba. Mereka
telah menyalahgunakan kedudukan sebagai anggota keluarga pertama
negara untuk memaksa jabatan kerajaan memberi mereka kontrak.
Seperti dalam kes Khairy Jamaluddin, beliau menggunakan syarikat
milik Kementerian Kewangan untuk menyelamatkan perniagaan yang
ada kaitan terus dengannya.
Kekecewaan yang dirasakan oleh rakyat tidak pun dapat menyaingi
kekecewaan yang dirasakan oleh sahabat lama Abdullah di BTN dan
GPMS dahulu. Mereka telah menjangkakan diberi peluang sedikit
habuan mengikut kuasa yang ada di tangannya. Malah, Abdullah telah
melantik beberapa sahabat lama pada zaman BTN dan GPMS untuk
menjadi Setiausaha Sulit kepadanya sebagai tanda bahawa “orangorang
ini harus diberikan kontrak.” Akan tetapi setiap kali mereka
membuat lawatan kunjung hormat kepada Thajudeen Abdul Wahab
untuk mengendeng habuan mereka, kerap sangat mereka disekat oleh
suku-sakat Khairy yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri, terutama
sekali Mr. Dua puluh persen, Ahmad Zaki Sahid - Inilah satu-satunya
orang yang diberikan kepercayaan penuh oleh Abdullah terhadap urusan
ekonomi dan kewangan negara, dan inilah juga orang yang telah didapati
bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin Umno dengan tuduhan korupsi.
Inilah paradoksnya dengan Abdullah Badawi. Dia tidak nampak ada
salahnya dengan korupsi di kalangan anggota keluarga beliau, tetapi
menentang begitu lantang kalau orang lain membuatnya. Dia menganggap
Tan Sri Isa Samad sebagai seorang pembelot Umno kerana mengagihkan
wang untuk memantapkan kedudukan politiknya dalam Umno. Akan
tetapi apabila Ahmad Zaki berbuat perkara yang sama, Abdullah
menganggapnya sebagai satu kesilapan yang tidak disedarinya.
Apabila Kasitah Gadam gunakan wang kerajaan untuk membantu
syarikat milik keluarganya, Abdullah telah menghambatnya laksana
seekor singa lapar. Akan tetapi apabila Kalimullah dan Khairy mendesak
Nor Mohamed Yakcop memberi arahan agar Avenue Capital membeli
ECM Libra, Abdullah hanya mampu berkata “dia tidak tahu-menahu
akan urusan itu.” Sama ada Abdullah adalah seorang pembohong besar
ataupun dia memang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang paling
dungu dalam sejarah negara kita.
Cuba kita anggapkan bahawa alasan yang kedua itu adalah yang
sebenarnya, bererti Abdullah tidak terlibat dengan korupsi yang
membabitkan ahli keluarganya. Jika demikian Abdullah merupakan
satu bebanan besar kepada negara ini. Adalah amat teruk keadaannya
kalau seseorang itu menjalankan tugas tanpa menyedari bahawa orang
yang paling rapat dan amat berharga dalam hidupnya menjadi kaya-raya
dengan mengaut harta negara.
Memang terlalu banyak kisah mengenai kelemahan Abdullah serta
kedunguannya. Terlalu banyak untuk diingat semuanya. Bekas Perdana
Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah mengadu kepada kawan-kawannya
bahawa Abdullah terlalu kerap tidur lena walaupun pada ketika dia
sepatutnya menghadiri temu janji dengan pelawat dan tetamu negara
asing serta pemimpin korporat.
Beberapa orang menteri seperti Syed Hamid Albar menjadi tertekan
apabila mendapati Abdullah menyerahkan dokumen rahsia negara
kepada menantunya Khairy sedangkan itulah dokumen yang menjadi
bahan perundingan antara Malaysia dan Singapura untuk bacaannya
sebelum tidur. Kerana tertekan bahawa maklumat mengenai dasar luar
kerajaan sudah pun diketahui lebih awal oleh menteri sejawatannya di
Singapura, Syed Hamid Albar menjadi begitu curiga terhadap Khairy
sehinggakan dia membawa dokumen rahsia itu sendiri ketika berjumpa
Perdana Menteri dan tidak lagi mengemukakan dokumen itu lebih awal
ke meja Perdana Menteri.
Baru-baru ini Menteri Kewangan Kedua Nor Mohamed Yakcop telah
terkejut apabila mengetahui satu senarai kotak-kotak yang menyenaraikan
nama pemenang kontrak di bawah Rancangan Malaysia ke sembilan
telah diconteng-conteng dengan nama dan syarikat yang patut diberikan
projek itu, walaupun tender mengenai projek belum lagi disiapkan dan
tendernya diumumkan. Coretan tangan itu adalah hasil kerja Khairy.
Pada satu hari selepas selesainya satu mesyuarat kabinet, Menteri Luar
Bandar Aziz Shamsuddin telah berjumpa dengan pemimpin Pemuda
Umno tertentu daripada Pahang yang datang meminta kontrak. Aziz
Samsudin terkejut apabila mengetahui Dato yang muda-muda itu
datang untuk menagih kontrak yang baru dua hari sahaja diluluskan
oleh kabinet. Setelah menyiasat secara mendalam Aziz lagi terperanjat
melihatkan salinan mesyuarat kabinet itu ada di tangan tetamunya, yang
mendakwa, Khairy telah memberikan dokumen itu kepada mereka.
Walaupun marah dengan cara pelanggaran protokol dan rahsia negara
yang dibocorkan, Aziz tidak mampu berbuat apa-apa lagi, kecuali
mengizinkan permohonan mereka.
Aziz sudah lama bersahabat dengan Abdullah, dan memang sudah lama
sedar sejak berbulan-bulan dahulu lagi betapa dia sudah kehilangan
pengaruh ke atas Perdana Menteri yang kini hanya mendengar suara
anak menantunya dan tidak suara orang lain lagi.
Masalah begini menular ke bawah hingga ke tahap pentadbiran negeri.
Ada seorang peniaga Cina baru-baru ini memberitahu Ketua Menteri
Pulau Pinang Koh Tsu Koon bahawa Khairy sudahpun memberikan
beliau kuasa untuk membangunkan kawasan lapangan terbang Bayan
Lepas dengan cara menambak tanah – sedangkan projek itu belum
lagi dibincangkan oleh kerajaan negeri dengan pihak luar. Sekurangkurangnya
ada dua orang Exco Gerakan yang telah berkata kemungkinan
Tsu Koon dipindahkan ke Jabatan Menteri Persekutuan, dan mereka akan
menjadi Ketua Menteri yang baru – mengikut apa yang dijanjikan oleh
Khairy kepada mereka.
Menteri Besar Perak Tajol Rosli telah menerima satu surat daripada
satu syarikat pembinaan yang bermodalkan RM2 dan berpangkalan di
Lumut yang mengatakan bahawa Khairy telah memberikan mereka izin
untuk menggali pasir daripada pesisiran pantai Lumut untuk dijual di
luar Perak. Sedangkan penjualan pasir untuk melepasi sempadan negeri
sudah lama diharamkan dan usaha itu melanggar peraturan Perak yang
mahu mengekalkan pesisiran pantai sebagai usaha melindungi alam
maya. Perkara semacam itu tidak membawa makna kepada Naib Ketua
Pemuda Bahagian Umno itu kerana dia adalah anggota Kelab Naib Ketua
Pemuda yang dipelopori oleh Khairy. Apabila Tajol Rosli membantah,
Naib Ketua Pemuda itu mengugut mahu membawa perkara itu kepada
pengetahuan Khairy dan membawanya terus naik ke atas.
Ketua Menteri Sabah Musa Aman telah cuba sedaya upaya agar Danaharta
menjual projek Pelabuhan Sutera (Sutera Harbour) kepada sekutunya
seorang Kadazan bernama Melvin. Usahanya sebelum itu menjadi buntu
sehinggalah Musa memberi arahan kepada seorang Ketua Pemuda
Umno bernama Hasnul Ayub Aman, anak lelaki kepada Pengerusi
Sabah Times, untuk berjumpa dengan Khairy membawa segala butiran
dan menawarkan beliau sedikit komisen. Dengan tawaran agar Khairy
mendapat peratus dalam urusniaga itu, tidak lama lagi Kementerian
Kewangan akan meluluskan penjualan Sutera dengan harga yang lebih
rendah daripada sebutharga yang pernah ditetapkan oleh Danaharta
sebelum itu. Penjualan akan berasaskan rundingan tanpa tender.
Semua ini merupakan secebis kisah daripada pelbagai peristiwa yang telah
terjadi selama dua tahun melibatkan Khairy Jamaluddin dan pentadbiran
kerajaan Abdullah. Itu hanya setitik di lautan sahaja. Sebelum ini para
menteri dan ahli politik menjadi terlalu takut untuk bercakap. Akan
tetapi, mereka kini sudah naik marah dengan Abdullah sehingga berani
bersuara lantang mengenai Khairy yang salahgunakan kuasa. Sedikit
demi sedikit, kisah ini dapat bocor juga walaupun media rasmi kerajaan
– yang dikawal sepenuhnya oleh penyokong Khairy seperti Kalimullah
Masheerul Hassan, Brendan Pereira, Wong Sulong dan Wong Chun Wai
- sengaja diam membisu tentang pergerakan anak menantu Perdana
Menteri itu. Pihak akar umbi dalam Umno berjaya juga mendapat berita
secara gelap dan melalui mulut ke mulut. Hanya golongan yang begitu
bodoh dalam Umno yang tidak sedar bahawa Khairy adalah raja dan
dalang boneka yang menguasai Abdullah secara mutlak.
Bahaya yang mendepani Khairy ialah keberanian orang bersuara sekarang
ini tanpa takut-takut mengenai korupsi yang begitu membarah dalam
keluarga Abdullah. Lagipun, mereka sudah naik jelak dengan perkara
yang sama semasa pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad dahulu. Akan
tetapi Dr. Mahathir tidak pernah menjanjikan satu pembaharuan. Jadi,
semasa rakyat memang sudah lali dengan karenah kerakusan keluarga
Dr. Mahathir yang bergelumang dengan rasuah, mereka menjadi lebih
kecewa dengan Abdullah, yang berlabelkan keintelektualan Islam tetapi
membenarkan perkara yang sama berlaku dengan lebih rancak tanpa
menghiraukan keresahan rakyat.
Ramai yang berkata bahawa Abdullah merupakan satu ancaman berbahaya
kepada Umno dan harus disingkirkan secepat mungkin. Namun, tidak
ada sesiapa yang berani mengorak langkah pertama untuk membuka silat
perang. Memang ada beberapa nama yang dipujuk untuk menjadi tukang
cara dalam perubahan itu. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir
Mohamad merupakan calon yang paling diharap oleh ramai anggota
Umno yang tidak puashati mahukan pihak lain menyokong mereka, dan
harapan turut disandar kepada Tengku Razaleigh Hamzah.
Kalau ada yang menyelamatkan tengkok Khairy masa ini ialah sifat rakyat
Malaysia yang sudah lali dengan kegelojohan kerajaan dalam korupsi,
setelah dipermudahkan oleh amalan zaman pemerintahan Dr. Mahathir
dahulu. Sambil mereka masih berhati-hati, Khairy sudah bertindak pantas
menimbun harta karunnya dan memantapkan kuasa naungannya terhadap
para pemimpin Umno yang mudah dibelinya. Khairy masih boleh
menyandarkan harapan terhadap ketakutan paling besar Dr. Mahathir
yakni kembalinya Anwar Ibrahim menyertai Umno semula, yang sudah
pasti akan disokong oleh Abdullah. Kalaulah ada antara penyokong Dr.
Mahathir, contohnya Najib Tun Razak, berani mencabar Abdullah secara
terbuka, Anwar akan menjadi bidak yang akan digunakan oleh Khairy
dalam peperangannya terhadap Dr. Mahathir. Selagi Anwar mampu
menarik perhatian rakyat dengan meneruskan dendam kesumatnya
terhadap Dr. Mahathir dan mereka yang terlibat dengan konspirasi 1998
dahulu, yang menyebabkan kejatuhannya, bererti Khairy akan berada
dalam zon selamat.
Akan tetapi, Anwar semakin kehilangan pengaruhnya dan Khairy juga
menghadapi dilema yang sama. Mereka berdua berada di penghujung
pertarungan dan ramai dalam Umno yang mahu melihat Khairy dan juga
Anwar dipupuskan untuk selama-lamanya. Memang amat menarik kalau
pemimpin Umno yang sudah lanjut usianya, membayangkan satu situasi
di mana mereka berjaya menumbangkan Khairy, menjatuhkan Abdullah
dan dengan itu menentukan Anwar menjadi seorang pemimpin yang
sudah hilang bisanya dan terus kekal di pihak pembangkang yang tidak
bertaring lagi. Mereka yang melihat Khairy satu ketika dahulu sebagai
seorang tokoh yang unggul tentu dapat melihat kini mana perginya
permaidani terbangnya. Kalau disediakan ramuan yang betul, pesawat
Khairy akan terhempas dan terbakar juga.
No comments:
Post a Comment