Adz

Friday, December 24, 2010

Hikayat Khairy Jamaludin - Jurulelong Negara - BAB 10

BAB 10
Jurulelong Negara






Tindakan berani Azman Mokhtar menolak keghairahan Khairy
Jamaluddin untuk menjadi Chief Operations Officer (COO - Ketua
Pegawai Operasi) Khazanah merupakan satu tamparan hebat kepada
ego Khairy. Beliau menyangka pada asalnya bahawa perlantikannya
untuk mengisi jawatan itu hanyalah satu formaliti sahaja. Sebaliknya,
dia mendapati impian itu berkecai setelah ditolak secara berhemah dan
berbudi-bahasa tetapi sungguh terkesan kepada seorang anak muda
yang mentah dan tidak berpengalaman. Dengan alasan yang sama
inilah menyebabkan beliau tidak diberikan sebarang jawatan di pejabat
Perdana Menteri sejurus selesai Pilihan Raya Umum ke-11, di mana
beliau dikatakan berjaya merencana satu kemenangan yang paling besar
untuk Barisan Nasional dalam sejarah parti berkomponen itu.
Sebagai Ketua Kempen Pilihan Raya, Khairy bukan sahaja berjaya
mencorakkan satu imej baru buat Abdullah yang dilihat sebagai insan
yang baik hati, tinggi budi bahasanya dan lebih lemah-lembut berbanding
Dr. Mahathir. Malah, beliau merupakan orang yang menentukan
siapa di kalangan calon Barisan Nasional yang patut bertanding. Satu
Jawatankuasa khas yang dianggotai tiga orang mengandungi Timbalan
Perdana Menteri Najib Tun Razak, Setiausaha Kerja Barisan Nasional,
Yaakob Muhammad dan Khairy Jamaluddin telah diberikan kebebasan
untuk memilih dan menentukan orang yang patut menerima watikah
menjadi calon Barisan Nasional. Dua orang anggota Jawatankuasa itu
memang tidak ragu-ragu lagi dengan mendapat suara siapakah yang
lebih didengar oleh Perdana Menteri untuk menentukan keputusan yang
muktamad.
Sejurus selesai Pilihan Raya Umum itu Khairy tidak dapat menahan


kegembiraan untuk bercakap angkuh tentang peranannya menentukan
kemenangan besar Barisan Nasional. Gelagat ini bukan sahaja menaikkan
kemarahan Najib, malah beberapa orang pegawai di pejabat Abdullah
yang telah lama berkhidmat dengan setia kepada beliau. Kumpulan
ini yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Peribadi, Thajudeen Abdul
Wahab telah bergabung tenaga menasihatkan Abdullah agar beliau
menghentikan segala cakap-cakap cemuhan yang dilempar kepadanya
disebabkan Khairy. Thajudden menasihati Abdullah agar menamatkan
khidmat Khairy di pejabat kerana beliau masih mampu bergantung harap
kepadanya sebagai seorang anggota keluarganya sendiri. Adalah tidak
kena pada tempatnya jika Abdullah terus menggunakan Khairy sebagai
seorang penasihat rasmi. Seorang lagi kepercayaan Abdullah, Fawzi
Basri (arwah) telah mencadangkan agar Khairy diberikan tugas lain di
kementerian yang lain. Ketika itulah seorang sekutu Khairy, Ahmad Zaki
Zahid, yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan agar
Khairy dilantik menjadi Chief Executive Officer (CEO - Ketua Pegawai
Eksekutif) di Khazanah.
Perkara itu telah dibincangkan oleh Abdullah dengan Menteri Kewangan
kedua Nor Mohamed Yakcop. Mereka bersetuju bahawa CEO yang ada
ketika itu, Anuar Aji, tidak cekap dan kerap gelabah dalam tugasnya.
Namun, Nor Mohamed berpendapat adalah tidak masuk akal untuk
meletakkan seorang anak muda berusia 28 tahun dan masih mentah dalam
dunia niaga dilantik menguruskan perniagaan Khazanah. Sesungguhnya,
kalau tidak kerana pengalaman sebagai Pegawai Khas di Jabatan
Perdana Menteri, Khairy tidak memiliki pengalaman kerja kecuali
sebagai seorang wartawan pelatih di dalam bidang percetakan dan media
elektronik. Kerana itu Nor mencadangkan agar Khairy dilantik menjadi
seorang COO yakni satu tahap bawah sikit daripada jawatan CEO.
Jawatan demikian memberikan peluang untuk Khairy bertanggungjawab
ke atas urusan harian Khazanah, sedangkan orang yang menjadi ketua
beliau menumpukan tugas terhadap penentuan dasar utama Khazanah.
Tugas sebagai COO itu adalah semacam sama dengan tugas beliau di
pejabat Abdullah.
Nor Mohamed Yakcop muncul di puncak kuasa dengan tugas menjadi
penasihat kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir melaksanakan
tambatan Ringgit ketika berlakunya krisis kewangan Asia pada 1997
dahulu. Pada mulanya Nor Mohamed Yakcop punya hubungan rapat dengan
anak-didik Anwar Ibrahim yang bernama Wan Hasni sebagai penasihat
Kumpulan Syarikat Abrar. Nor Mohamed Yakcop pernah menjadi seorang
Malaysia Today 95
pegawai di Bank Negara di mana beliau bertanggungjawab terhadap
kerugian wang negara sebanyak RM15 bilion dalam spekulasi pasaran
wang asing (forex). Ada desas-desus mengatakan Nor Mohamed Yakcop
pernah meraih keuntungan besar dalam urusan pertukaran matawang
asing sehingga beliau mampu membeli seekor kuda lumba di Melbourne
Cup Race dan menamakannya ‘Bank Negara’.
Semasa memberikan khidmat singkat sebagai penasihat Khas kepada
Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop telah mengambil beberapa
graduan lulusan Oxford dan Cambridge serta segelintir lulusan
universiti lain yang dikatakan pintar belaka. Graduan yang berusia
dalam lingkungan tiga puluhan merupakan akauntan ataupun peguam
yang pernah berkhidmat dalam pelbagai bidang dan pakar dalam urusan
penstrukturan. Salah seorang daripada mereka ialah Azman Mokhtar
yang dipilih oleh Nor Mohamed untuk menjadi CEO di Khazanah.
Nor Mohamed berpendapat oleh kerana Azman adalah lulusan Oxford,
tentulah dia serasi menerima Khairy yang juga lulus daripada Oxford
sebagai Timbalannya.
Akan tetapi Azman tidak berapa berminat dengan Khairy. Pertama, dia
tidak suka ada orang mengintai apa yang dilakukannya. Sebenarnya dia
boleh bekerja dengan lebih selesa dan mengaut keuntungan yang lebih
lumayan sebagai ‘Managing Partner’ di ‘Binafikir’ jika dibandingkan
dengan tugasnya berkhidmat untuk negara di Khazanah. Untuk
melaksanakan tugasnya di Khazanah dengan baik dia tidak mahu sesiapa
mengongkongnya. Khazanah mempunyai aset berjumlah sekitar RM600
bilion melalui 11 anak syarikat, 16 syarikat bersekutu dan ratusan
pelaburan kecil di Malaysia dan di luar negara. Ternyata memang
mengiurkan selera Khairy yang begitu rakus dan tamak haloba. Akan tetapi
alasan paling utama kenapa Azman menolak perlantikan Khairy ialah
wujudnya satu kumpulan anak-anak muda di keliling Azman yang tidak
begitu bersimpati dengan Khairy. Mereka ini sama–sama berkelulusan
tinggi dengan ijazah kelas pertama daripada universiti terunggul dunia.
Graduan-graduan muda ini telah ditempatkan di beberapa jawatan
penting di Khazanah, daripada Pembantu Peribadi kepada Pengarah
Pelaburan, Ekuiti dan Kewangan Korporat. Dalam jawatan itu mereka
perlu memberi tumpuan khusus kepada tugas mereka.
Graduan muda yang berkelulusan tinggi ini tidak serasi dengan Khairy
kerana Khairy adalah lambang nafsu serakah politik. Mereka sedar
kehadiran Khairy akan memaksa mereka bertolak ansur dalam prinsip


bisnes untuk memihak kepada kehendak politik. Khairy pasti membawa
masuk kroninya untuk terlibat dalam urusan dagang Khazanah. Yang
lebih penting lagi, Khairy akan membawa pengaruh negatif terhadap
profesionalisme kerana mahukan setiap bentuk maklumat disalurkan terus
kepadanya. Kumpulan anak-anak muda inilah yang telah membantah
dengan lantangnya akan kemasukan Khairy. Sebagai COO Khazanah.
Mereka menjerit keriangan apabila Azman mengoyak surat pelantikan
yang telah disediakan oleh Norza Zakaria yang bertugas sebagai
Setiausaha Politik Mohamed Yakcop. Surat itu hanya menunggukan
tandatangan Pengerusi Khazanah merangkap bapa mertua Khairy iaitu
Abdullah Badawi.
Khairy sedar graduan muda di Khazanah bukanlah sama tongkang dengan
orang-orang beliau yang bertugas di Ethos Consulting dan beberapa
syarikat dagang yang digunakannya sebagai saluran politik. Kalau para
kroni beliau boleh dilentur untuk melakukan apa yang dikehendakinya,
kumpulan muda di Khazanah selalu mentertawakan Khairy. Mereka tahu
Khairy tidak pandai sangat menilai pendekatan asas perniagaan, termasuk
membaca maklumat penyata perakaunan dan rencana perdagangan.
Memanglah Khairy tidaklah seteruk itu hingga boleh dianggap dungu.
Akan tetapi pengalamannya selama enam bulan sebagai pengacara satu
rancangan TV bukanlah memberikan banyak pengalaman kerja untuk
beliau memahami selok-belok kewangan korporat. Di sebalik kekurangan
yang ketara, Kalimullah Hassan telah melantik Khairy menjadi seorang
pegawai di Kewangan Korporat di ECM Libra kerana beliau sendiri pun
dahulu tidak punyai apa-apa pengalaman dan terpaksa menggunakan
rangkaian seranta untuk mendapatkan peluang perniagaan untuk syarikat
usahasamanya.
Khairy sedar dia tidak boleh membiarkan Khazanah berurusan di
bawah jagaan anak-anak muda yang begitu bertentangan dengan impian
politiknya. Apabila Azman menolak beliau, Khairy telah menggunakan
satu taktik lain untuk menentukan dia mempunyai pengaruh dalam
sistem Khazanah. Perlantikan Azman secara mendadak bererti banyak
orang lama yang perlu diganti. Khairy telah mendesak Abdullah untuk
memecat semua pegawai kerajaan yang lama di situ dan menggantikannya
dengan orang yang bertaraf profesional. Azman telah memilih majoriti
orang baru untuk mengisi jawatan lama. Tetapi terdapat segelintir yang
mampu masuk dengan ihsan Khairy. Khairy mahu menggunakan mereka
sebagaimana dia menggunakan Mustapha Ong di pejabat Najib. Orang–
orang ini merupakan perisik bagi pihak Khairy dan bertanggungjawab


memberikan maklumat aset Khazanah yang baik-baik untuk dipilih oleh
Khairy bagi urusan perniagaannya.
Antara segelintir orang-orang pilihan Khairy ini tersebutlah nama
seorang rakannya daripada Ethos Consulting yang bernama Gianendra
Sarvananthan. Mereka berdua pernah belajar di England dan pernah
belajar bersama-sama dalam kumpulan yang sama. Semasa Khairy mulamula
masuk berkhidmat di pejabat Abdullah, orang yang kerap memberi
nasihat kepadanya mengenai ekonomi dan bisnes, ialah Sarvananthan.
Ketika itu Sarvananthan bertugas sebagai penasihat korporat kepada
sebuah bank yang berpengkalan di Singapura. Semasa itulah Sarvananthan
telah memperkenalkan Khairy kepada beberapa syarikat perniagaan di
Singapura termasuk beberapa pegawai utama dalam Temasek Holdings
dan DBS Bank. Temasek Holdings adalah syarikat milik kerajaan
Singapura. Apabila Khairy gagal mendapat tempat di Khazanah beliau
mengambil langkah bijak untuk menempatkan Sarvanathan di situ.
Lantas Sarvananthan telah dilantik sebagai Pengarah Pelaburan di
Khazanah. Pada usia 29 tahun, Sarvananthan yang tidak ada sebarang
pengalaman dalam perniagaan di Malaysia telah diberikan kuasa untuk
menstruktur perniagaan Khazanah, dan yang amat penting sekali sektor
pelaburan ekuiti. Di sebalik kelulusannya yang tertulis, Sarvananthan
tidak pun tahu-menahu akan asas kewujudan Khazanah. Lagi pun dia
bukan tahu sangat akan suasana kewangan dan perniagaan di Malaysia.
Semua ini dianggap tidak penting walaupun dia diberikan tugas terpenting
dalam kerja-kerja penstrukturan Khazanah.
Melalui Savananthan, Khairy telah mengemukakan banyak cadangannya
kepada Khazanah. Pendekatan mereka memang amat mudah sekali.
Khairy telah memilih apa juga bidang bisnes di mana dia ataupun ECM
Libra dapat memainkan peranan. Dia memberitahu Savananthan yang
akan pergi berjumpa Azman dengan cadangan yang sama kerana kertas
kerja itu telah dibuat sendiri oleh Sarvananthan. Setiap kali Khazanah
memilih sesuatu jenis perniagaan untuk diniagakan, Khairy akan dilantik
oleh pihak yang berminat sebagai penasihat mereka. Satu bahagian
komisen yang khusus diberikan kepada Khairy kerana menguruskan
perniagaan itu. Selalunya komisen adalah sedikit sahaja dalam bisnes
biasa, tetapi komisen untuk Khairy adalah banyak kerana memandangkan
besarnya urusan yang dibuat dengan Khazanah.
Sebagai contohnya ialah kemasukan Temasek memiliki saham TM


ataupun dahulunya dikenali sebagai Telekom Malaysia. Temasek telah
membeli saham TM sebanyak 5% dengan harga RM1.6 bilion di tahap
awal pentadbiran Abdullah. Ini merupakan satu isyarat urusan yang
menyegarkan hubungan niaga antara dua negara yang dipisahkan oleh
Tambak Johor. Seperti yang diketahui umum. Temasek adalah pemegang
saham SingTel yang dinaungi oleh Lee Hsien Yang, anak bongsu Lee
Kuan Yew. Ini merupakan satu urusniaga besar yang sangat penting. Apa
yang tidak diketahui umum ialah perihal Temasek membayar komisen
kepada Khairy melalui satu syarikat yang berdaftar di Singapura yang
rapat dengan proksi Khairy bernama Norza Zakaria. Alamat syarikat ini
ialah di Singapore Land Tower; 50, Raffles Place. Bayaran yang dibuat
kepada syarikat ini ialah untuk khidmat perundingan. Yang sebetulnya
itulah komisen yang dianggap rasuah juga.
Urusan dagang itu setelah dimaklumkan kepada pucuk kepimpinan
Umno yang paling utama. Mustapha Mohammad telah memberitahu
bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di pejabatnya di
Menara Berkembar Petronas. Dr. Mahathir melenting kerana marah yang
amat sangat. Walaupun Dr. Mahathir sendiri bukanlah bebas daripada
kesilapannya dalam urusan politik dan dagang, dia selalunya memendam
rahsia itu di kalangan keluarganya sendiri iaitu di kalangan masyarakat
bisnes di Malaysia. Dia tidak pernah merestui penjualan apa juga kepada
musuh ketatnya - Singapura.
Mustapa telah diberikan tugas khas untuk mendapatkan sokongan
beberapa orang menteri agar sama-sama menyuarakan kekesalan bahawa
penjualan kepada Temasek adalah satu kesilapan besar. Hampir di setiap
negara, telekomunikasi adalah dianggap sebagai satu industri strategik
yang sentiasa diawasi dengan rapi kerana implikasi keselamatan negara.
Abdullah telah diberitahu betapa ramai jurutera di SingTel adalah pakarpakar
yang telah dilatih oleh Israel yang turut menyumbang kepada
pembentukan sistem satelit yang canggih. Beberapa menteri seperti
Aziz Shamsuddin dan Azmi Khalid telah memberitahu Abdullah bahawa
langkah membuka telekomunikasi negara kepada Singapura adalah amat
berbahaya, memandangkan sebelum ini Singapura telah dibenarkan
menceburi bidang perbankan, insurans, pembekalan bahan-bahan
pembinaan dan media cetak negara. Agen (perisikan) Singapura seperti
Kalimullah Hassan telah diberikan kedudukan di tempat yang strategik.
Kemudian ada pula masalah di mana segala pelaburan Singapura tidak
dapat dibalas dengan setimpalnya oleh rakyat Malaysia yang lebih
miskin.


Gandingan tiga serangkai (troika) yang dianggotai oleh Mustapa,
Azmi dan Aziz merupakan menteri yang berpengaruh kerana mereka
adalah saki-baki pentadbiran Dr. Mahathir dan diketahui berkata benar
dengan ikhlasnya kepada Abdullah. Kerana itu Abdullah tidak ada
pilihan dan bersetuju dengan pendapat mereka. Namun, Khairy berdegil
kerana merasakan habuan yang lumayan daripada urusan dengan pihak
Singapura. Hampir semua hubungan perniagaan Khairy ada sangkut-paut
dengan Singapura. Proksi beliau, Norza Zakaria mempunyai kepentingan
niaga di Singapura.Majikannya ECM Libra berpengkalan di Singapura.
Majikannya itu mempunyai satu syarikat berdaftar di Singapura yang
menggunakan wang Singapura untuk membeli aset Malaysia. Badut
beliau yang bernama Kalimullah Hassan adalah seorang ‘apologist’
yang naik dalam kerjayanya kerana membuat laporan yang baik-baik di
Malaysia bagi pihak Singapura. Penasihat ekonomi beliau yang bernama
Sarvananthan telah dilatih oleh Singapura dan taat dan setia kepada
Temasek. Patutlah orang Singapura lebih suka memberikan gelaran
kepada Khairy sebagai “The Quiet Singaporean”.
Tidak ada pelabur asing yang perkasa mahu berada dalam kedudukan
pemegang minoriti untuk satu jangkamasa yang panjang. Kerana itu
Temasek berusaha melobi dengan gigih untuk mendapatkan pegangan
saham TM sebanyak 5% lagi. Kalau diambil kira keadaan pasaran
modal semasa, pelaburan tambahan itu membabitkan pembelian hampir
RM1.7 bilion. Khairy selalunya mendapat komisen antara 1% hingga
2% yang dikongsi sama dengan sekutunya dan ini berjumlah antara
RM17 juta hingga RM34 juta. Apabila diambilkira RM16 juta yang
diterimanya dalam transaksi yang terdahulu sudah tentu ini merupakan
satu perniagaan yang amat lumayan kerana Khairy hanya perlu bersuara
memujuk Abdullah bersetuju dengan urusan dagang itu.
Sejak Mac tahun ini, Abdullah telah merayu agar kabinet membenarkan
Temasek menambahkan sahamnya dalam TM. Setiap kali dia berbuat
demikian dia menemui jalan buntu kerana tentangan para menteri yang
telah menerima maklumat daripada Dr. Mahathir. Lagi pun, Najib Razak
sengaja diam membisu dalam hal ini. Setiap kali selesai mesyuarat
kabinet, Najib akan bertemu Dr. Mahathir dan juga bekas Menteri
Kewangan Tengku Razaleigh untuk mendapat panduan dan nasihat
mereka. Nasihat yang diterima adalah sama sahaja, iaitu melambatlambatkan
perkara itu selama mungkin. Jika tidak, sekat terus usaha
itu. Kalau Temasek dibenarkan mendapat saham tambahan, kepentingan
Malaysia akan tergadai.


Untuk memecah kebuntuan, Khairy telah berunding dengan Sarvananthan.
Mereka tonjolkan satu idea baru yang bertujuan memberi penekanan
kepada peningkatan kepentingan Malaysia di Singapura. Mereka
berdua berharap kalaulah ada syarikat Malaysia yang membeli lebih
banyak saham syarikat Singapura, penentangan terhadap usaha Temasek
membeli saham TM boleh diredakan. Sarvananthan telah mencadangkan
kepada Khazanah dan CEO TM, Abdul Wahid Omar; agar membeli lebih
banyak saham M1, syarikat telekomunikasi ketiga terbesar di Singapura.
Namun, urusniaga itu didapati lebih mahal daripada harga yang mulamula
ditetapkan. Singapura enggan menjual sahamnya dengan harga
murah dan Malaysia terpaksa membayar premium dalam pembeliannya.
Kesannya, saham TM menjunam kerana para pelabur runsing pembelian
itu tidak berbaloi dan akan menjejaskan keuntungan TM akhirnya.
Implikasinya ialah saham TM yang akan dibeli oleh Temasek menjadi
lebih murah daripada yang dijangka pada awalnya. Demikianlah “otakudang”
Khairy dan orang-orangnya di Khazanah. Kesannya Singapura
2 Malaysia 0.
Sehingga kini pun, Khairy masih berharap agar urusan itu dapat
diselesaikan. Jika tidak pun, masih banyak lagi urusan lain yang boleh
dimajukannya kepada Singapura. Salah satu usaha itu ialah penstrukturan
FELDA yang membabitkan asetnya. Kegiatan utama FELDA ialah
perladangan. Akan tetapi tidak ramai orang yang sedar betapa FELDA
mempunyai pelaburan juga dalam banyak bank utama di Malaysia
terutamanya MayBank. Pelaburan yang dianggap kecil ini berjumlah
berbilion Ringgit dan sudah matang untuk menjadi pilihan pelabur
asing. Seandainya FELDA berhasrat menggugurkan aset semacam itu
untuk memberikan tumpuan kepada perladangan. Dengan menggunakan
ECM Libra, Khairy telah mengemukakan cadangan kepada FELDA dan
Najib Tun Razak agar aset jenis ‘non-core’ (sampingan) ini dijual kepada
pihak berminat di Singapura. Khairy telah memberitahu Temasek dan
DBS Bank untuk bersiap sedia membeli aset itu semuanya. Berapakah
agaknya komisen kepada Khairy? Antara RM30 juta hingga RM50 juta.
Masalah di FELDA berpunca daripada rencana penstrukturan yang
bukan direka oleh Khairy. Sebenarnya pengstrukturan FELDA adalah
ilham Jamaluddin Jarjis yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan
Kedua. Jamaluddin telah melantik anak saudaranya untuk membuat
perancangan itu melalui syarikat kumpulan Avenue Capital. Akan
tetapi apabila Abdullah memegang tampuk kuasa, rencana itu telah
dibatalkan kerana memberi ruang kepada rancangan Ethos Consulting,
yang merupakan sayap pelaburan Khairy. Abdullah beranggapan adalah


mudah untuk mendapatkan persetujuan Najib. Akan tetapi Najib telah
berhelah dengan meletakkan FELDA di bawah kuasa seorang pegawai
baru, yang merupakan rakan lama Mustapa Mohamad. Nama beliau
ialah Ahmad Maslan. Kini keadaan sudah berada di satu persimpangan.
Sedangkan kedua-dua pihak sedang melobi dengan gigihnya untuk
menyeluk pekasam yang bernama FELDA. Apa yang dimulakan dahulu
oleh Tun Razak sebagai rencana awalan Dasa Ekonomi Baru (DEB)
untuk membantu orang Melayu di kampung-kampung kini sudah menjadi
kawah kencana yang terletak di hujung pelangi.
Setakat ini Khairy hanya mendapat komisen daripada urusniaga yang
utama sahaja. Namun, masih ada satu aset kerajaan yang bernilai sekitar
RM1.7 bilion yang tidak lama lagi akan menjadi landasan Khairy untuk
masuk senarai Billionaire Forbes. Rancangan untuk membalun harta
karun itu sudah mengambil masa yang lama kerana begitu kompleks.
Kini Khairy dan Norza Zakaria sudah berjaya memecahkan jalan buntu.
Tidak berapa lama lagi rencana itu akan meledak juga dan menjanjikan
keuntungan kepada mereka.







No comments:

Post a Comment