Adz

Sunday, December 26, 2010

Hikayat Khairy Jamaludin - Permainan Berisiko Tinggi - BAB 15

BAB 15
Permainan berisiko tinggi




Politik merupakan satu permainan yang mempunyai risiko tinggi.
Pasang-surut politik itu tidak boleh dicongak dan selalunya mereka
yang menunggang ombak, walaupun untuk satu masa yang lama,
mendapati bahawa lautan besar akan menelan mereka ketika mereka
membuat walaupun kesilapan kecil. Ini bukannya satu permainan untuk
mereka yang berhati lemah, kerana setiap kejatuhan boleh membawa
bencana, malah, menghapuskan sama sekali kerjaya seseorang. Apabila
seorang ahli politik jatuh, dia selalunya diaibkan pula. Nilai kejatuhan
itu adalah terlalu tinggi untuk majoriti kita semua. Namun demikian,
masih ramai orang yang sanggup beratur menantikan kemunculan kuasa
untuknya walaupun untuk hanya 15 minit semata-mata kerana nafsu
serakah yang mahu merasakan apa yang selalunya digambarkan sebagai
satu rasa yang paling nikmat yang perlu dialami oleh seseorang. Itulah
kuasa untuk merajai manusia yang lain. Percaturan politik menghasilkan
kuasa, seperti yang disebut oleh Henry Kissinger sebagai aphrodisiak
(penaik syahwat/perangsang nafsu) yang paling berkhasiat.
Khairy Jamaluddin sudah merasa kuasa dalam tempoh yang amat
cepat. Dia telah naik mencanak dalam satu tempoh yang singkat ketika
usia yang masih muda, sedangkan orang lain yang berusia demikian
hanya masih memikirkan bagaimana mencari duit untuk membayar
sewa ataupun ansuran kereta. Pengaruh kuasanya adalah lebih unggul
daripada kebanyakan orang politik yang berusia tiga puluh tahun lebih
tua darinya, Khairy sudah pun menikmati kuasa itu sedangkan majoriti
kita tidak akan merasainya sepanjang hayat kita. Dia berada sebaris
dengan mereka yang mempunyai kuasa untuk bertindak menentukan
perjalanan hidup kita kalau mereka suka.


Namun, Khairy telah mencapai tahap itu dengan memainkan peranan
yang rendah risikonya. Dia bukanlah seorang yang suka bertarung dan
naiknya ke puncak kuasa adalah terlalu mudah. Tanpa perlu melontar
buah dadu untuk menentukan nasibnya, Khairy telah menggunakan
peluang yang terbuka untuk membuat laluan ke atas dengan meniti
bahu orang lain. Sebagai contoh, dia naik menjadi Naib Ketua Pemuda
Umno adalah hasil muslihat pilihan dan bukan kerana undian. Walaupun
disanjung tinggi oleh anggota ahli pergerakan pemuda Umno, Khairy
tidak mungkin naik mencanak sebegini tanpa ihsan bapa mertuanya.
Memanglah, Khairy ternyata lebih bijak berbanding kebanyakan
pemimpin Umno yang lain, termasuk mereka yang telah lama bermain
politik untuk beberapa dekad sudah. Namun, terlalu ramai pemimpin
Umno yang mempunyai bakat yang lebih menyerlah, berkeupayaan dan
berkarisma tetapi terpaksa tergolek akhirnya di tepi jalan perjuangan
mereka, hanya kerana majoriti pemimpin Umno bukanlah terpilih
disebabkan bakat mereka tetapi kerana hubungan dan kaitan. Sekarang
ini diambilkira pula keupayaan mereka untuk memberi naungan.
Dalam kerjaya politiknya Khairy belum lagi teruji. Walaupun wujud
satu barisan wartawan akhbar asing termasuk Brendan Pereira yang
kini menyibuk di Jalan Riong, memukul canang selalu menonjolkan
ketokohan Khairy dan apa juga kejayaan Umno masa kini, segala
kelentungan itu ternyata kosong semata-mata. Sebagai contoh, Khairy
tidak boleh diberikan kepujian terhadap menyelesaikan kemelut Suqiu
kerana Suqiu mengambil langkah ke belakang atas tekanan samsengsamseng
Pemuda Umno, yang diketuai oleh Aziz Syeikh Fadzir.
Sumbangan Khairy kepada kejayaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya
Umum yang lalu terhad kepada pemilihan moto ‘Cemerlang, Gemilang
Terbilang’ (dengan usahasama tukang ciplak Kalimullah Masheerul
Hassan); dan memilih calon (yang sudah pasti akan terpilih juga) dan
menonjolkan satu imej yang lebih menyerlah untuk Abdullah Ahmad
Badawi. Untuk memahkotakan Khairy dengan segala kepujian kerana
menjamin kemenangan itu adalah sama dengan membohongi petanda
yang memang menyerlah beberapa bulan sebelum berlangsungnya
pemilihan itu. Rakyat Malaysia yang begitu letih dengan kemelut Anwar
dan begitu lama diasak oleh pemerintahan kuku besi Dr. Mahathir
Mohamad sudah bersedia mengalu-alukan kerajaan baru yang dijanjikan
lebih bersopan oleh Abdullah Ahmad, termasuk segala janjinya untuk
membasmi korupsi yang sudah bernanah selama 22 tahun.


Brendan Pereira, Phar Kim Beng, Reme Ahmad, Zainuddin Affendi,
Leslie Lau, Rosli Ismail dan wartawan yang lain sekandang dengan
mereka memang amat sedar betapa setiap kali mereka memuji-muja
Khairy, mereka sebenarnya menggembar-gemburkan keadaan. Melalui
laporan berita semacam itu, memberikan ruang mudah untuk mereka
mendekati orang-orang Khairy dan lebih penting lagi dapat mendekati
langsung orang yang mereka puji. Secara tidak langsung, ini merupakan
satu pembayaran awal kerana khidmat yang diberikan di masa hadapan.
Mereka sedar bahawa Khairy masakini merupakan ‘rent-a-quote’ (tukang
suara keramat) semasa. Kerana itu, adalah penting mereka mempunyai
hubungan baik dengannya kerana keghairahannya mahu menunjuknunjuk
perkara baru yang menonjolkan kepintarannya berbanding
kumpulan dungu yang menerajui Umno di masa dulu-dulu.
Mampukah Khairy memainkan peranannya tanpa henti? Kini, sudah ligat
khabar angin mengenai betapa goyahnya pentadbiran kerajaan Abdullah
disebabkan tekanan yang berat daripada setiap penjuru. Abdullah sedang
dihantui musuh politiknya dari dalam (Umno) berpunca daripada sekutu
bos lamanya dan juga bakal penggantinya Najib Tun Razak. Ekonomi
negara memang sudah teruk dan kerajaan telah membentangkan satu
penyata bajet (belanjawan) yang secara terperinci membuktikan bahawa
sudah tidak ada jalan untuk Malaysia menangani defisit yang perlu
diselesaikan sebelum berakhirnya kerajaan berparlimen yang sedia
ada pada 2008. Kadar inflasi semakin meningkat - bermain antara
9% hingga 10% , walaupun sedikit rendah berbanding tempat lain.
Kegagalan GLCs (Syarikat berkaitan Kerajaan) mengemukakan satu
penyelesaian kepada masalah aliran tunai Malaysia sudah dibebankan
oleh sikap terlalu bergantung kepada kumpulan Oxbridge, sambil tidak
mengambilkira sikap mereka dalam isu pengurusan kerajaan. Umno
sudah begitu degil menentang sebarang usaha menukarnya daripada
sebuah institusi yang begitu korup, penuh skandal dan terlalu menebal
dengan ketamakan kumpulan yang berpuak-puak; kepada sebuah parti
politik yang bertanggungjawab.
Khairy mempunyai rencana untuk menggunakan semangat keadaan
semasa untuk membawa perubahan yang boleh membawa kebaikan
kepada imej Abdullah dan masa depannya. Akan tetapi segala perubahan
ini semakin dilihat sebagai usaha untuk menentukan keunggulan
ketokohan Khairy. Beliau telah menolak tepi segala perhatian demikian
dengan penuh risiko kerana keterbukaan selalunya membuka ruang
kepada kritikan terbuka dan Khairy belum diuji dalam perkara ini. Selama


ini Khairy hanya dimanjakan oleh puji-pujian. Dia tidak pernah dicabar
oleh seorang pemimpin pembangkang yang setara ketokohannya dengan
dia. Yang terbaik dan mampu ditonjolkan oleh PAS ialah Husam Musa
yang pada mulanya telah membuat urusan rahsia dengan Khairy untuk
mendinginkan suasana perundingan yang sungguh mencabar melibatkan
kerusi wakil rakyat di Kelantan dan Terengganu. Beberapa orang tokoh
politik yang berkarisma dalam PKR telah ditekan atas arahan khas Anwar
Ibrahim agar tidak mengkritik Abdullah dan anggota kerajaan sekarang
seperti Khairy. Ezam Mohd Nor merupakan seorang pemimpin yang masih
berkhayal, tanpa menyedari betapa dia cuma dianggap sebagai seorang
badut oleh orang-orang Khairy gara-gara kerakusan mahukan jawatan
timbalan menteri kalau mereka mahu dia masuk semula menganggotai
Umno. DAP masih lagi dalam peralihan. Lim Guan Eng merupakan
tokoh masa depan mereka, akan tetapi dalam banyak hal, dia merupakan
tokoh yang lalu sahaja, kerana terlalu terikat dengan pengaruh politik
ayahnya untuk mencetuskan kesan yang mendalam menyaingi karisma
Khairy Jamaluddin.
Kerana itu Khairy mampu melakar kemunculannya naik mencanak tanpa
banyak saingan. Kalau ada pun, bahayanya berpunca daripada kerakusan
untuk membuat perkara yang besar risikonya sehingga tidak mampu
membuktikannya. Sebagai contoh, baru-baru ini Khairy telah mengatur
satu pertemuan di London antara Anwar dan Abdullah. Secara kebetulan,
Abdullah berada di sana dalam satu usaha menjana pelaburan di Malaysia.
Dari segi ekonomi, usaha itu tidak berhasil kerana Abdullah tidak pernah
mempunyai wawasan baru bagi melonjakkan ekonomi Malaysia. Ada
dua soalan yang tidak dapat dijawab oleh Abdullah dengan memuaskan.
Pertama, kenapakah dasar kerajaannya diciplak secara keseluruhan
daripada peraturan (buku panduan) yang dimiliki oleh Temasek Holding
di Singapura. Kedua, kenapakah dia begitu menyibuk dengan pertanian
dan bioteknologi sedangkan merata dunia sekarang ini menganggap
dua sektor itu sebagai penyumbang kecil kepada keseluruhan enjin
pertumbuhan ekonomi dunia.
Sudah tentu, Abdullah tidak dapat menjawab soalan mudah semacam itu
kerana fikirannya terlencong kepada benda-benda lain. Lawatan yang
menelan perbelanjaan sebanyak RM2.3 juta dianggap penting, tetapi
tidaklah sebegitu penting seorang pelawat yang menanti di bilik sebelah
di mana sudah diatur pertemuan untuknya. Alangkah malangnya kepada
Abdullah kerana tidak dapat merahsiakan pertemuan tersebut. Secara
tiba-tiba dan tidak disengajakan muncul seorang Menteri Besar yang
masuk ketika empat mata sedang bertemu secara rahsia. Akan tetapi,
itu tidak berapa penting sangat kerana Anwar dan orang-orangnya pasti
akan membocorkan juga apa yang dianggap rahsia.
Mengikut Zunar, seorang bekas kartunis yang kini menjadi editor Suara
Keadilan, pertemuan antara Anwar dan Abdullah telah ditumpukan
kepada kehampaan Abdullah terhadap usaha kekuatan kumpulan
kaunter-reaksioner pimpinan Dr. Mahathir-Najib Razak. Mungkin juga
Zunar sengaja membesar-besarkan keluhan Abdullah, tetapi mesej yang
mahu disampaikannya adalah terlalu nyata. Abdullah merupakan seorang
pemimpin yang terlalu tertekan dan dia amat memerlukan seorang sekutu
seperti Anwar Ibrahim. Secara berahsia Khairy telah memberitahu
kawan-kawannya bahawa kalau populariti Anwar di kalangan akar
umbi dapat dirangkumkan dengan pengaruh Abdullah sudah tentu dapat
melonjakkan masa depan politiknya dan menjadikan peluangnya kurang
berisiko.
Memanglah, Zunar merupakan seorang kaki propaganda. Dia dibayar
untuk melonjakkan Anwar agar popular laksana dewa. Periuk nasinya
(kononnya) bergantung kepada Anwar, mempercayai beliau mampu
menjalankan tugas dengan baik agar Anwar dilihat sebagai seorang
bijaksana politik yang tidak ada tolok bandingnya. Tidak kiralah kalau
ramai orang tahu itu bukan yang sebenarnya. Itu sebabnya Zunar kerap
mengeluarkan pelbagai kisah kelentungan yang indah khabar dari rupa,
tidak kiralah ramai yang tahu bahawa hanya 10% antara kisah-kisahnya
yang benar.
Orang semacam Zunar mahu dunia berfikir bahawa tanpa Anwar Ibrahim
sejurus Abdullah tidak berkuasa lagi, pengaruh Khairy Jamaluddin akan
pupus begitu sahaja. Sebagai seorang kartunis, politik Zunar berasaskan
satira dan parodi yang selalunya memang merupakan kebenaran
yang sengaja diperbesar-besarkan. Akan tetapi, kita tidak pula mahu
menafikan betapa beberapa orang yang bersekutu dengan Khairy telah
mengeluarkan kenyataan yang begitu melegakan mengenai kemungkinan
Anwar rujuk semula menganggotai Umno. Khairy mahu bertaruh nasib
terhadap perkara ini tetapi dia sengaja lambat mengikut rentak, kerana
mahu menilai dulu reaksi orang lain sebelum mula melontar dadunya.
Mengikut Zunar, kemasukan semula Anwar (dalam Umno) kerap menjadi
tajuk perbincangannya dalam mesyuarat dan pertemuan, bualan telefon,
dan perbincangan dengan Abdullah. Akan tetapi sebagai menjaga
maruah kedua-dua tokoh, yang selalu disebut ialah Khairy dan anakdidik
Anwar, Ezam Mohd Nor, yang membuat rancangan menyeluruh.
Beberapa jadual pertemuan dalam beberapa bulan mendatang sudah pun
diatur antara Abdullah dan Anwar.
Di sebalik cakap-cakap besar Anwar menafikan kesediaannya
menganggotai Umno semula, yang sebetulnya Anwar dan Khairy sedang
menguji keadaan sebelum mereka betul-betul mencuba nasib. Khairy
perlu mencuba reaksi anggota Umno terhadap kemasukan Anwar semula
tanpa menafikan betapa mudahnya Anwar menyandarkan harapan untuk
rujuk semula. Sebaliknya, Anwar perlu menguji persepsi para pengikutnya
terhadap kepimpinan beliau sebelum memberitahu mereka akan pilihan
yang terbuka untuknya. Anwar tidak mampu meminggirkan terlampau
ramai bekas penyokongnya dalam gerakan reformasi. Walaupun Anwar
tahu ada yang akan berundur kerana mual dengan sikap opportunisnya,
masih ramai nanti yang akan mengikutinya kerana tujuh tahun merewang rewang adalah satu tempoh yang terlalu lama untuk mereka hidup tanpa
sebarang pengaruh politik.
Risiko yang Anwar hadapi adalah kecil berbanding risiko yang dihadapi
Khairy. Anwar telah mengharungi satu kejatuhan yang paling besar
pernah dialami oleh orang Umno, dihenyak dan dilanyak sampai lumat
dan dibiarkan terbaring kaku atas arahan seorang diktator yang sehingga
saat akhir masih dianggap oleh Anwar sebagai seorang bapa. Tidak ada
benda lain di dunia ini yang boleh dijadikan satu ujian seperti yang
pernah dilaluinya bersama ahli keluarganya sekali. Sebaliknya, Khairy
telah kerap mendapat perlindungan gara-gara keakrabannya dengan
Abdullah Badawi. Kalaulah dia gagal dengan percaturan ini, bukan
sahaja beliau yang menerima padahnya. Malah, Abdullah juga akan
hanyut sama diganyang oleh ahli-ahli Umno yang sudah begitu mabuk
dengan kekayaan dan harta karun yang mereka balun selama ini. Khairy
sedang menguji keadaan kerana pertaruhan yang tinggi risikonya. Ia
mungkin menjamin kedudukannya untuk satu waktu yang lama. Tetapi
ia mungkin gagal dan menjatuhkan beliau dan juga Abdullah ke dalam
jurang yang pernah diharungi oleh Anwar beberapa tahun yang lalu.







No comments:

Post a Comment