Adz

Wednesday, December 22, 2010

Hikayat Khairy Jamaludin - Berputiknya Satu Persahabatan yang Akrab - BAB 07

BAB 7
Berputiknya satu persahabatan yang akrab




Ratusan manusia telah datang berbondong-bondong menuju sebuah
banglo dua tingkat di Jalan Setiamurni. Berita pembebasan Anwar
Ibrahim sudah merebak dengan pantas, membawa kejutan kepada
seluruh negara. Demikian juga kejutan yang melanda ratusan orang
asing yang tidak pasti dengan perubahan yang mendadak itu. Ramai
para penyokong Anwar sudah pun berkumpul dengan penuh keriangan
menyambut kepulangan wira mereka yang telah diperam selama enam
tahun oleh kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan untuk seketika oleh
pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Memang tidak dinafikan betapa
kumpulan manusia di situ sedang bergembira, mengecap kemenangan
dan pada waktu yang sama setiap individu di situ masih tidak pasti apa
yang akan berlaku selepas itu.
Secara tiba-tiba, muncul sebuah kereta Mercedes berwarna hitam
di persimpangan jalan, dan berhenti hanya beberapa meter jauhnya
daripada kediaman Anwar. Sejurus kemudian muncul seorang insan yang
memang amat dikenali oleh manusia yang berkumpul di situ sebagai
seorang anggota Umno yang tidak seberapa pangkatnya dalam parti itu.
Orang ramai telah menjerit-jerit, memaki dan mengejek insan yang baru
muncul itu.
Ada yang meludah ke bumi sebagai cemuhan yang menghina. Ada pula
yang membaling botol air mineral kosong, satu terkena bahu lelaki itu.
Ada segelintir manusia yang menjerit mengherdik insan itu agar tidak
maju walau setapak lagi, demi keselamatannya. Mereka menjerit kepada
beliau betapa kedatangannya memang tidak disenangi. Apabila si tetamu
itu bertegas yang dia hanya mahu mengucapkan selamat pulang kepada


Anwar Ibrahim, kumpulan yang mencemuh beliau semakin berang
sehingga mencemaskan mereka yang berada di dalam kediaman Anwar.
Di antara orang yang naik berang itu ada yang menunjukkan unsur-unsur
menggila semacam mahu mengamuk sambil menggulung lengan bajunya,
seolah-olah mahu melepaskan tumbukan pada muka orang yang mereka
cemuh itu seandainya beliau melangkah maju ke depan.
Hingar-bingar itu telah mencemaskan Ruslan Kassim yang terus dicerca
dan dinista dengan pelbagai cemuhan. Ketika itulah muncul satu kereta
lagi secara senyap-senyap dan tidak disedari oleh orang ramai kerana
ia muncul di penghujung jalan. Ini membolehkan penumpang kereta
itu keluar tanpa orang ramai menyedarinya. Beliau telah disambut
oleh mantan Setiausaha Politik Anwar, Ezam Mohd Nor. Tetamu yang
disenangi oleh Ezam itu ialah Khairy Jamaluddin. Beliau telah dibenarkan
memasuki rumah Anwar Ibrahim melalui jalan pintu belakang dan
dibenarkan terus naik ke atas rumah untuk berjumpa dengan orang yang
baru sangat dikutuk oleh Umno dan para pemimpinnya sebagai seorang
penderhaka.
Di kamar Anwar, dua insan yang disebut-sebut sebagai calon mengisi
jawatan Perdana Menteri telah bertemu muka, secara berhati-hati pada
mulanya dan cepat menjadi akrab seterusnya. Anwar telah menghulurkan
tangannya yang lantas disambut oleh Khairy. Mereka telah berbincang
pelbagai hal. Tidak lama kemudian barulah diumumkan bahawa
kedatangan Khairy ke sana adalah untuk menyampaikan salam bapa
mertuanya, Abdullah Ahmad Badawi. Lawatan itu juga dibuat sebagai
satu usaha meyakinkan Anwar bahawa segala usaha sedang direncana
untuk menyiapkan satu pasport antarabangsa untuk memudahkan
pemergiannya ke Munich dengan segera.
Anwar pernah menyebutnya kemudian, bagaimana dia telah menyindir
Khairy akan kemunculannya secara mendadak dalam hierarki pergerakan
pemuda Umno, akan berdepan pelbagai dugaan, malah boleh merana
dengan titisan air mata. Lama selepas itu, Khairy dan Anwar ada berkata
bahawa pertemuan itu tidak pun mencetuskan apa-apa dan mereka tidak
pun membincangkan sesuatu yang serius.
Akan tetapi seluruh negara tidak dapat menerima penjelasan semacam
itu dengan senang hati. Salah seorang antara mereka berdua ataupun
kedua-duanya sekali sudah berbohong, kata mereka. Apatah lagi Anwar
baru sangat dianggap oleh parti pemerintah sebagai orang yang tidak


diingini. Kalau ada pun namanya disebut-sebut, sebutan itu dibuat
secara mencercanya. Khairy pula dianggap oleh si bapa mertua sebagai
seorang penasihat yang paling rapat dan paling dipercayai. Sudah tentu
pertemuan mereka itu menghasilkan sesuatu yang lebih meyakinkan.
Sesungguhnya pertemuan itu memang bersebab:
Kedua-dua mereka (Anwar dan Khairy) telah menafikan kemudiannya
bahawa wujud satu persetujuan antara Abdullah Badawi dan Anwar
Ibrahim bahawa Abdullah akan menarik-balik sebarang proses seandainya
pihak pengadilan bertindak adil dan membebaskan Anwar daripada
hukuman penjara selama enam tahun. Sesungguhnya persetujuan itu
telah mula dirancang beberapa bulan sebelum diadakan Pilihan Raya
Umum dan sudah tentu selepas Abdullah naik memegang puncak kuasa
sebagai Perdana Menteri Kelima. Tidak ramai pemimpin politik kerajaan
mahupun di pihak pembangkang yang sedar betapa perancangan yang
mereka setujui itu adalah untuk peringkat penamatnya.
Pertemuan di Jalan Setiamurni merupakan pengukuhan satu perjanjian.
Abdullah berpendapat bahawa kemelut Anwar adalah satu limpahan
basi daripada era Dr. Mahathir yang sudah pasti dia perlu tangani.
Keadaan kesihatan Anwar sudah berada pada tahap kritikal yang boleh
menyebabkan beliau separuh lumpuh, akibat kesakitan tulang belakang
yang ditanggungnya sepanjang terpenjara.
Khairy menjadi alat yang menjelaskan kepada Anwar bahawa Abdullah
memang merestui pakatan mereka tanpa perlu mewar-warkan perkara
itu secara umum dan sekali gus mencetuskan kemarahan Tun Dr.
Mahathir.
Sejurus berada di Munich Anwar telah memberitahu teman-temannya
yang rapat termasuk mantan editor Berita Harian Nazri Abdullah, mantan
Pengarah Urusan MRCB Khalid Ahmad dan mantan CEO Guthrie
Khalid Ibrahim bahawa kedatangan Khairy ke rumahnya dahulu adalah
membawa sepucuk surat daripada Abdullah. Khairy sendiri pun pernah
memberitahu Norza Zakaria, rakan karibnya yang menganggotai Majlis
Tertinggi Pergerakan Pemuda, bahawa memang ada surat semacam itu
yang diserahkannya sendiri kepada Anwar. Yang penting di sini, keduadua
pihak ada memperakui wujudnya surat demikian yang mengandungi
panduan bagaimana ‘gerak kerja’ beberapa bulan mendatang perlu
ditangani.


Gara-gara menemui Anwar, Khairy telah menjadi sasaran serangan
beberapa orang menteri yang rapat dengan mantan Perdana Menteri
Tun Dr. Mahathir Mohamad. Serangan itu telah diterajui oleh Samy
Vellu, beberapa menteri lain seperti Rafidah Aziz, Azmi Khalid dan
Aziz Shamsuddin. Aziz Shamsuddin telah bertanya Abdullah secara
terbuka, apakah sebabnya beliau mengutuskan Khairy Jamaluddin
bertemu Anwar. Apabila Abdullah menjawab bahawa tujuannya adalah
untuk memudahkan keperluan imigresen, Samy Vellu telah ketawa dan
menyindir secara sinis kepada Abdullah: “Lain kali kalau saya perlukan
satu pasport anda boleh hantar menantu anda bertemu saya.”
Rafidah Aziz telah mengecam Khairy sebagai memalukan Perdana
Menteri sambil menggunakan taktik Melayu lama dengan menyindir.
Aziz Shamsuddin yang pernah dituduh oleh Anwar sebagai konspirator
yang bertanggungjawab menjatuhkan beliau telah bersuara marah
mengatakan bahawa sepatutnya Anwar ditemui oleh seorang pegawai
rendah daripada jabatan imigresen dan bukannya oleh anak menantu
seorang Perdana Menteri.
Azmi Khalid mencelah bahawa sepatutnya Anwar yang pergi bertemu
Khairy Jamaluddin dan bukan sebaliknya. Hampir semua anggota
kabinet sebulat suara berpendapat bahawa Khairy Jamaluddin telah
terburu-buru dan bertindak dungu. Namun demikian, jauh di lubuk hati
mereka, memang ada kesedaran bahawa Abdullah telah menyetujui
itu semua, tetapi oleh kerana Abdullah tidak mahu mengaku bahawa
urusan itu adalah mengikut arahan telunjuknya, para menteri itu telah
bersekongkol menyerang Khairy dengan cemuhan bahawa dia adalah
anak muda hingusan yang masih tidak tahu seni politik.
Kekesalan para menteri semakin menjadi-jadi apabila Najib diam
membisu setelah menyedari bahawa Anwar yang dibebaskan dianggapnya
amat berbahaya kerana dia boleh menggugat kedudukan Najib sendiri.
Keupayaan Najib untuk terus bergayut kepada kuasa dan peluang untuk
beliau naik menjadi Perdana Menteri bukan sahaja bergantung pada
ketahanan pemerintahan Abdullah, tetapi kini ternyata semakin rumit
dengan kewujudan Anwar yang menambah satu dimensi baru kepada
skima impian politik yang diasaskan oleh warisan Mahathir.
Menteri-menteri yang rapat dengan Dr. Mahathir memang tidak senang
dengan lawatan Khairy ke rumah Anwar. Mereka dapat merasakan
wujud sesuatu yang aneh di situ. Secara terbuka mereka merujuk perkara


itu kepada Dr. Mahathir dan melaporkan apa juga yang terjalin dalam
mesyuarat kabinet selepas pembebasan Anwar. Pejabat Dr. Mahathir di
Menara Berkembar Petronas tiba-tiba menjadi tapak ‘kabinet bayangan’
yang seolah-olah merupakan kesinambungan mesyuarat kabinet di
Putrajaya. Para menteri mula berkerumun di pejabat Dr. Mahathir untuk
menyatakan kehampaan mereka terhadap bahaya ancaman pembebasan
Anwar secara pintu belakang dengan orang yang yang pada suatu ketika
menjadi calon Perdana Menteri.
Lawatan tersebut menimbulkan banyak permasalahan kepada Khairy.
Seorang menteri Melayu (yang namanya tidak disebutkan di atas) begitu
marah dengan lawatan Khairy itu menyebabkan beliau mengusahakan
satu senarai nama pemimpin pemuda Umno di beberapa bahagian,
dengan mengasingkan nama-nama mereka kepada dua kolum yang
dinamakannya golongan ‘pro-Khairy’ dan ‘anti-Khairy’. Beliau telah
menunjukkan senarai itu kepada Dr. Mahathir dan mencadangkan agar
salah seorang anak lelaki Dr. Mahathir ditonjolkan untuk mencabar
Khairy.
Menteri itu berpendapat bahawa inilah ketikanya untuk berbuat demikian
kerana Khairy belum lagi meluas kuasa dan pengaruhnya ke semua
bahagian. Lagi pun, Khairy masih lagi dianggap oleh akar umbi sebagai
orang luar yang elit. Menteri itu berhujah bahawa sesiapa yang mencabar
Khairy boleh menang besar ataupun kalah tetapi setidak-tidaknya cabaran
itu akan menghakis mitos kekebalan Khairy. Tun Dr. Mahathir diam
seribu bahasa tanpa membuat komen. Namun, satu rencana sudah diatur
untuk menjadikan Khairy sebagai sasaran satu serangan yang hebat.
Barulah Dr. Mahathir sedar ketika itu bahawa anak muda yang pernah
dianggapnya sebagai budak hingusan, kini sudah menjadi satu alat utama
yang menggugat warisan peninggalannya. Dr. Mahathir telah berkata
kepada Setiausaha beliau, Dato Badriah, yang Abdullah telah sengaja
menggali kuburnya sendiri dengan membebaskan Anwar. Dr. Mahathir
menjelaskan bahawa beliau sendiri merasa sukar menangani Anwar dan
kerana itu dia tidak yakin bahawa Abdullah mampu melakukannya. Pada
pandangan Dr. Mahathir, Abdullah adalah seorang yang bengap dan
salah perkiraan dalam membebaskan Anwar.
Apa yang tidak disedari oleh Dr. Mahathir, sebenarnya Abdullah sendiri
tidak faham sepenuhnya kesan pembebasan Anwar. Malah, Khairy
adalah orangnya yang beranggapan bahawa pembebasan Anwar akan


melonjakkan kerjaya politiknya. Pertama, Khairy beranggapan bahawa
Anwar adalah sentiasa berguna sebagai alat terhadap sesiapa sahaja di
kalangan orang-orang politik dalam Umno yang mungkin mencabar
takhta yang sedang menjadi milik Abdullah. Mereka itu adalah orang
seperti Tengku Razaleigh dan Najib Tun Razak. Kedua, Khairy
berpendapat dengan membebaskan Anwar dan bersua muka dengannya
akan menaikkan lagi populariti beliau dan juga Abdullah.
Khairy memang ternyata betul dalam kisah dan andaian yang pertama
tadi. Malah Anwar merupakan iklan utama untuk kerajaan Abdullah dan
sudah tentu memperkasakan reputasi beliau sebagai pemimpin yang
telus dan bersikap adil. Namun, dalam kisah kedua itu, ternyata Khairy
telah tersilap congak akan serangan pertama terhadap kerjayanya.
Memang Khairy terpaksa menghadapi banyak kritikan gara-gara bertemu
dengan Anwar. Pada jangkaan Khairy para pemimpin Umno tentulah
merasa lega melihatkan kemelut Anwar itu diselesaikan. Sebaliknya
mereka berpendapat bahawa Khairy dan Abdullah sudah pun menggugat
kedudukan Umno dengan membebaskan pengkritiknya yang paling
ditakuti. Bekas penyokong Khairy dalam Umno seperti Hishammuddin,
menganggap anak muda ini begitu gelojoh dan mula mencurigainya.
Buat pertama kali, Hishammuddin telah cuba mencari titik perdamaian
dengan saingan politiknya yang hebat, baik dalam keluarganya sendiri
mahupun dalam politik, yakni Najib Tun Razak. Gara-gara tindakan
Khairy telah merapatkan kedua-dua sepupu ini lebih mesra lagi. Mereka
sudah pun mula bergabung tenaga untuk mencari rumusan agar Khairy
tidak lagi memperdayakan mereka.
Beberapa pemimpin Umno yang rapat dengan anak Dr. Mahathir dan
bekas Bendahari Pemuda Umno, Mokhzani sudah mula merencana
serangan ke atas Khairy. Mereka menggunakan taktik menyebarkan
surat layang yang berbisa dan menggunakan SMS (sistem pesanan
ringkas) yang menuduh beliau bermesra dengan Anwar dan sekali gus
membahayakan susun-atur peralihan kuasa yang akan membabitkan
Najib. Beberapa mesyuarat telah diadakan oleh beberapa kumpulan teras
di kalangan ahli-ahli pemuda Umno yang memihak kepada kem Mukhriz
terutama sekali Bahagian Gopeng yang diketuai oleh Aziz Shamsuddin.
Beberapa mesyuarat telah juga dilaksanakan di bawah naungan ANSARA
(Persatuan Bekas Pelajar Mara) yang dipimpin oleh Mukhriz.
Khairy pernah diejek beberapa kali oleh kumpulan yang diarahkan oleh


Mukhriz dan Mokhzani dan keadaan itu ternyata berpanjangan untuk satu
ketika yang lama juga. Inilah yang membimbangkan Abdullah sehingga
meminta isteri beliau pergi memerhatikan perjalanan persidangan
Pemuda bagi meredakan para hadirin daripada terus mengejek Khairy.
Untuk pertama kalinya dalam kerjaya politik beliau, Khairy dapat
merasakan betapa peritnya cemuhan yang dibuat secara terbuka. Selama
ini terlalu dilindungi oleh Abdullah, Khairy belum pernah merasakan
dirinya dicemuh seteruk begitu. Lantas dia berubah haluan dengan cepat.
Kalau dalam beberapa minggu sebelum itu dia telah mengusahakan
pembebasan Anwar sebagai teras pencapaian amalan demokrasi yang
adil dan bebas, kini dia mula mengkritik Anwar sebagai seorang
penderhaka kepada perjuangan Umno dan terus menyatakan betapa
pintu Umno telah ditutup untuk kemasukan Anwar. Malah, Khairy
sanggup mengatakan betapa masa depan Anwar sudah tamat. Mungkin
juga Khairy sendiri sudah lupa, bagaimana dia cuba meyakinkan para
perwakilan Umno, tidak ramai yang dapat mempercayai beliau kerana
gelagatnya di luar jangkaan mereka menziarahi Anwar di rumah
kediamannya dan memberikan penghormatannya kepada mantan
Timbalan Perdana Menteri itu. Sebagai parti yang begitu prihatin, Umno
belum bersedia membuka pintunya kepada seorang insan yang selama
enam tahun mencemuh Umno sebagai parti politik yang korup dan tidak
mampu memperbaiki parti. Yang lebih penting lagi, Hishammuddin dan
Mukhriz tidak percaya kepada Khairy.
Gelagat Khairy untuk berpatah-balik sudah menjadi lelucon di kalangan
para perwakilan dalam persidangan Umno. Seperti yang dikatakan oleh
mantan Timbalan Ketua Pemuda Umno, Nazri Aziz, “Mereka yang
ghairah mahu membawa perubahan kepada Umno, selalunya mendapati
Umno yang mengubah mereka.” Khairy sudah merasakan kehangatan
Umno yang amat memarahinya, dan barulah dia sedar bahawa Umno
hanya akan menyenanginya kalau dia mengikut haluan parti – itu pun ada
kemungkinan Umno bertindak mendendanya kerana bersikap sendirian
di luar amalan yang disenangi oleh parti.
Khairy telah terpenjara oleh nafsu serakah Umno.
Pembebasan Anwar tidak mungkin berlaku semata-mata dengan kehendak
sistem keadilan. Memang sudah jelas bahawa badan kehakiman negara
adalah tertakluk kepada pihak pemerintah walaupun Abdullah pernah
menyatakan dengan jelas yang beliau tidak akan mencampuri perjalanan


mahkamah yang menentukan keadilan. Akan tetapi keadilan mahkamah
yang mengikut arahan kerajaan adalah keadilan yang tercemar. Memang
tidak dinafikan bahawa Khairy telah memainkan peranan penting untuk
mempengaruhi keputusan mahkamah (membebaskan Anwar).
Mungkin juga Khairy telah kehilangan segelintir sokongan orang atasan
Umno. Tetapi ini merupakan sesuatu yang berbaloi kalau diambilkira
reputasi beliau sebagai insan yang bertanggungjawab dengan melakukan
sesuatu yang tidak terfikir sebelum itu – yakni membebaskan Anwar.
Rakyat biasa yang bukan pun menjadi anggota Umno, sudah tentu akan
mengaitkan Khairy sebagai seorang pemimpin parti yang berwawasan
dan boleh diharap mampu melakukan perkara yang betul.
Semasa Anwar berada di Munich, ada pegawai beliau sentiasa
berhubungan dengan Khairy. Setiap hari Khairy menerima laporan
mutakhir akan keadaan Anwar di Alpha Klinik termasuk senarai nama
Ketua Bahagian Umno yang pergi menziarahi Anwar di sana. Para
Setiausaha Anwar kerap menunjukkan pesanan SMS daripada Khairy,
sekali gus meyakinkan mereka betapa Khairy memang bersimpati dengan
Anwar. Dari segala kejadian yang berlalu memang jelas kini, memang
sudah wujud satu kesepakatan antara Anwar dan Abdullah yang begitu
dipengaruhi oleh peranan Khairy. Yang kedua, Anwar sudah menjadi
satu formula congakan Khairy yang menjamin keutuhan pemerintahan
Abdullah, sekali gus menjamin impian dia sendiri ditonjolkan menaiki
takhta pemerintahan negara. Yang ketiga, Anwar tidaklah begitu kerdil
untuk disisihkan begitu sahaja dalam perancangan besar politik Malaysia,
setidak-tidaknya sepanjang pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi.
Soalannya sekarang, apakah langkah yang sedang direncanakan itu?











No comments:

Post a Comment