Adz

Tuesday, December 21, 2010

Hikayat Khairy Jamaludin - Membunuh Saudara Sendiri - BAB 04

BAB 4
Membunuh saudara sendiri




Satu perkara bagi Khairy Jamaluddin selesaikan dengan cepat, ialah
cabaran daripada pencabar-pencabarnya yang menghalangnya secara
terbuka. Tetapi apa yang hendak dilakukan dengan ahli-ahli politik muda
yang menjadi kepercayaan Abdullah Ahmad Badawi? Sebelum Khairy
muncul, Abdullah mempunyai beberapa orang anak muda yang telah
dipersiapkan untuk membantunya. Mereka mungkin menjadi duri dalam
daging, yang akan mencabar Khairy bagi takhta yang menjadi rebutan
dalam masa beberapa tahun lagi. Seorang yang sudah mengisytiharkan
niat ini dalam pertemuan tidak rasmi ialah Timbalan Ketua Perhubungan
Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin, 41.
Ketika Hishammuddin Hussein satu masa bertanding jawatan Naib
Ketua Pemuda Umno, Zahidi merupakan antara segelintir yang
berani mencabarnya – walaupun Hishammuddin anak seorang bekas
Perdana Menteri dan Zahidi seorang “yang tidak dikenali”. Seorang
bekas juruterbang Tentera Udara dengan ijazah UiTM menentang
Hishammuddin, dia tahu yang dia akan kalah, dengan populariti
Hishammuddin dan sokongan Dr. Mahathir. Namun, dia masih teruskan
tentangannya terhadap Hishammuddin. Mengapa?
Zahidi sebenarnya antara mereka yang pelik dalam Umno. Dia bukanlah
seorang yang berprinsip, namun dia mempunyai keyakinan yang tinggi.
Dia punya keyakinan akan kemampuannya dan sering megah dan
memanggil dirinya calon yang kerdil. Zahidi tidak fikir yang Umno patut
selalu dipimpin oleh keluarga-keluarga yang sekian lama terlibat dalam
politik seperti Hishammuddin Hussein. Dia percaya dalam menentang
mentaliti “bangsawan” ini.


Dengan itu Zahidi bangun berjuang menentang Hishammuddin.
Walaupun dia kalah teruk, dia mampu jatuh atas “tilam” kerana dia
seorang yang setia kepada Abdullah Badawi sejak zaman “Team B”nya
lagi. Abdullah bergantung kepada sokongan Zahidi ketika zaman dia
kehilangan pengaruh, malah pernah mempertimbangkan Zahidi sebagai
anak angkat. Apabila Khairy muncul pada skrin radar Abdullah, itu telah
menyakitkan hati Zahidi. Dia merasakan Abdullah telah ditarik memasuki
lorong taman oleh graduan Oxford yang manis mulutnya. Zahidi mahu
Abdullah untuk tetap dengan latarbelakang ketuanan Melayunya dan
tidak terpengaruh oleh politik zaman baru Khairy.
Zahidi cuba sedaya-upaya membawa Abdullah di jalan yang lurus
walaupun sempit. Tetapi sudah tentu dia tidak boleh menandingi Khairy
dan kawan-kawannya. Betapa dicuba, dia tidak mampu menghentikan
“budak mentah” itu – dan begitu juga Khairy tidak berjaya melagakan
Abdullah dan Zahidi. Antara kedua-duanya Khairy dan Zahidi, Abdullah
mencari perseimbangan yang sukar. Khairy tetap menjadi penasihatnya
yang paling rapat dan berpengaruh, tetapi Abdullah masih bergantung
kepada Zahidi untuk memberinya pandangan alternatif, walaupun
kebanyakan masanya ia tidak sepenting pandangan menantunya. Bagi
mengubat hati Zahidi yang luka, Abdullah merancang melantiknya
sebagai Menteri Besar Perlis semasa pilihan raya lalu, sekiranya Shahidan
Kassim gagal menggagalkan serangan PAS. Zahidi tidak menduga dan
“ternganga”, melihat Shahidan berjaya menggagalkan “gelombang
hijau” PAS dengan bantuan beberapa ahli kerabat DiRaja Perlis, dengan
itu menjamin dia terus memegang jawatan Menteri Besar. Namun begitu,
Zahidi dinaikkan pangkat menjadi Ahli EXCO Kanan Negeri.
Sejak itu, dia telah mengisytiharkan secara terbuka niatnya untuk
mencabar Khairy, menunjukkan dia mahu mengajar kelompok bangsawan
ini. Jadi, Khairy meletakkan agen rahsianya di kalangan kenalan Zahidi,
dalam bentuk pemimpin muda yang bercita-cita tinggi. Namanya Ben
atau Rozabil Abdul Rahman, penyokong kuat Khairy. Malah, sejak 1999,
dia sudah menjadi pemegang saham syarikat milik emak Khairy yang
berpengkalan di Pulau Pinang dan Kedah yang membekalkan barangan
ke sekolah-sekolah di rantau itu. Ben bercita-cita menempa nama dalam
politik negara, tetapi Khairy memberitahunya supaya membuktikan
kemampuannya dulu dengan “melanyak” Zahidi di Perlis.
Ben bukan berasal dari Perlis. Bapa beliau, Abdul Rahman Kader adalah
bekas pemimpin kesatuan sekerja yang merupakan seorang Anwaris


dan pernah menjadi Pengerusi Tetap Parti Keadilan Rakyat di peringkat
nasional dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Pulau Pinang. Dari tahun
1999 hingga 2004, Pak Rahman merupakan wakil Parti Keadilan Rakyat
di Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh. Pak
Rahman berasal dari Perak sedangkan Ben sudah lama menetap di Kuala
Lumpur. Akan tetapi banyak perkara boleh terjadi dalam cara Khairy
mencanai jaringan politik beliau. Secara tiba-tiba Ben sudah menjadi
anak Perlis dan mengembangkan sayapnya atas kemahuan Khairy. Salah
satu tugas beliau ialah memastikan agar Zahidi akan terjerumus ke
kancah keaiban yang akan mencemar kerjaya politiknya.
Semasa pilihan raya umum yang lalu, Ben telah merencana sesuatu bagi
pihak Khairy. Beliau telah merancang untuk bertemu Zahidi dengan
alasan mahu mendapatkan bantuan dan sokongan beliau untuk menang
pemilihan Ketua Umno Bahagian Kangar. Ben telah menjanjikan wang
kempen yang lumayan kepada Zahidi untuk memudahkan rencana ini.
Zahidi bersetuju dengan mudah sambil menerima RM300,000 sebagai
bayaran pendahuluan pertama.
Sebenarnya memang niat Ben tidak baik kerana tujuannya ialah mahukan
bukti bahawa Zahidi bergelumang dengan politik wang dan dapat
dirujukkan kepada Jawatankuasa Disiplin Umno. Inilah yang terjadi
seterusnya. Zahidi telah mendapati beliau menjadi sasaran siasatan oleh
Jawatankuasa yang diketuai oleh Tengku Ahmad Rithauddeen. Beberapa
helai surat yang menuduh beliau membayar wang sogokan telah
dikemukakan kepada Tengku dan beberapa rakaman perbualan telefon
dalam pita rakaman di mana Zahidi telah meminta Ben mempercepatkan
bayaran wang itu ke dalam akaun bank beliau telah pun diserahkan
kepada ahli-ahli jawatankuasa.
Zahidi telah didapati bersalah dan diberikan amaran. Umum telah
diberitahu betapa kesilapan beliau ialah menghalang orang tertentu
daripada terpilih menjadi ahli perwakilan dengan cara memfitnah
mereka. Namun, secara berahsia Tengku Rithauddeen telah memberi
amaran kepada Zahidi jangan buat kacau seandainya beliau tidak mahu
diumumkan kesalahan yang lain termasuk memberi sogokan sebanyak
RM1,000.00 setiap seorang kepada ahli-ahli dalam Bahagian Kangar.
Semasa siasatan itu Zahidi telah diberi amaran agar tidak memberitahu
pihak media apakah yang dikatakan oleh jawatankuasa kepada beliau.
Zahidi telah diberitahu betapa beliau bernasib baik disebabkan beliau


adalah anak emas Abdullah. Akan tetapi sekiranya beliau masih terus
berdegil menyanggah kepimpinan bangsawan, Jawatankuasa Disiplin
akan mencari jalan lain untuk menyembelihnya.
Tidak ada sesiapa yang terfikir bahawa Zahidi sanggup berdiam diri.
Tidak syak lagi betapa beliau sudah sedar pertaruhan mencabar Khairy
bukannya satu pertaruhan yang bersih dan mudah seperti mana beliau
mencabar Hishammuddin Hussein satu ketika dahulu.
Ada seorang lagi loyalis Abdullah seperti Zahidi juga yang bukan
daripada golongan bangsawan. Namanya ialah Reezal Marican Naina
Merican berketurunan India Muslim dari Pulau Pinang. Selama tiga
tahun sebelum Khairy muncul di kediaman Jalan Bellamy, beliau telah
berkhidmat dengan Abdullah dan berjaya menonjolkan ketokohannya.
Reezal Merican (yang kerap dipanggil Ustaz Merican) adalah lulusan
UIA yang amat gemar dengan kemewahan berpolitik dan gadis serta
pelakon wanita yang cantik-cantik. Beliau tidak dapat menerima keadaan
betapa kesetiaannya selama berkhidmat dengan Pak Lah boleh dirungkai
dengan kemunculan Khairy. Semasa Abdullah naik mengungguli jawatan
pertama, Reezal fikir itulah masanya untuk beliau menikmati kejayaan
itu. Dia beranggapan peranannya yang menyinar di UIA sambil menyakat
hati kawan-kawan pelajar yang amat setia kepada Anwar Ibrahim, sudah
pasti akan dihargai. Abdullah memang sedar akan kesetiaan beliau dalam
mengukuhkan imejnya. Reezal telah mengharapkan bahawa Abdullah
akan menghadiahkan beliau dengan satu jawatan tinggi dalam kerajaan.
Akan tetapi bila tiba masanya, Reezal telah menerima satu surat lantikan
untuk bertugas di kementerian pimpinan Shahrizat Abdul Jalil bagi
menjaga beberapa isu perpaduan negara. Khairy telah menyekat kenaikan
pangkat Reezal dengan menyediakan satu memorandum mengandungi
nama orang yang patut dinaikkan pangkat sebagai penasihat kepada Pak
Lah dan nama Reezal tidak dimasukkan dalam senarai itu.
Reezal tetap bersabar. Dia cuba menonjolkan diri sebagai calon yang
lebih penting dalam kerajaan baru Abdullah dengan menunjukkan betapa
beliau mempunyai hubungan baik dengan masyarakat pelajar universiti.
Dia berjaya dilantik sebagai ketua alumni UIA dan tentunya memiliki
satu pangkalan sokongan daripada golongan pelajar. Mungkin kerana
inilah Pak Lah mengalah dan pada November 2003 melantik Reezal
menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Pertama. Jawatan


itu tidaklah sehebat jawatan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri,
tetapi apabila dua jawatan itu dipegang oleh orang yang sama, Reezal
tidak dapat mengeluh sangat.
Khairy tidak dapat menerima perubahan tersebut begitu sahaja. Dia telah
mengemukakan satu lagi memo rasmi kepada Abdullah menyatakan
bahawa lulusan UIA itu tidak layak dengan jawatan itu kerana tidak ada
nilai tambah dalam usaha Abdullah mewujudkan satu pentadbiran yang
dibarisi satu pasukan profesional yang muda dan pintar. Khairy juga
menuduh Reezal terbabit dengan beberapa artis muda dan pembaca berita
yang muda-muda. Surat yang diletak di meja Abdullah telah diambil dulu
oleh Ketua Setiausaha Peribadi Abdullah, Dato Thajudeen Abdul Wahab
yang membuat satu salinan dan menyerahkannya kepada Reezal.
Setelah membacanya, Reezal bersumpah mahu bertindak balas dan
menyingkirkan Khairy daripada kumpulan yang rapat dengan Abdullah.
Sumpah seranah itu dibuat semasa hati panas. Akhirnya Reezal sedar
adalah lebih baik kalau beliau dilihat menyokong Khairy setidak-tidaknya
buat ketika ini. Dia berundur setapak ke belakang dan membiarkan Khairy
bertanding bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno dan beliau hanya
bertanding sebagai Exco biasa sahaja. Sedangkan beliau mempunyai
hubungan yang lebih lama dengan para perwakilan pergerakan itu.
Pada waktu yang sama Reezal cuba memperkasakan tenaga dan
ketumbukannya. Khairy banyak mendapat sokongan daripada lulusan
luar negara dan orang bukan Melayu serta fraksi Melayu liberal dalam
Umno. Reezal Merican lebih popular dengan golongan 30-an daripada
universiti tempatan.
Satu pertembungan secara berdepan hampir tercetus kalaulah tidak
disebabkan kepintaran Khairy mengelaknya.
Apakah kemampuan Khairy untuk menumpulkan pengaruh Ustaz
Reezal? Sebagai lulusan Oxford, Khairy cuba menilai keadaan daripada
sudut hierarki. Kalaulah diandaikan Khairy yang berkelulusan Oxford
itu laksana beruk yang tertenggek di dahan yang paling tinggi, tentu
sekali Reezal adalah si beruk yang bergayut di dahan bawah. Untuk
menghumban si beruk di bawah itu Khairy memerlukan beruk yang lebih
rendah darjatnya tetapi lebih agresif, dan lebih rela menjadi pengikut dan
tidak untuk memimpin. Khairy berjaya mengesan beruk jenis ini yang
bernama Datuk Abdul Azeez Rahim.


Abdul Azeez mempunyai banyak persamaan dengan perwatakan Reezal.
Sebagai seorang mamak dia juga mempunyai citarasa yang menyerupai
citarasa Reezal Merican dan mereka berdua pernah berkahwin sebanyak
dua kali. Yang lebih penting lagi, Abdul Azeez adalah seorang peniaga
yang naik atas daya usaha sendiri dan sudah tentu mampu menumpulkan
sebarang usaha Reezal untuk mempengaruhi ahli politik muda lulusan
universiti tempatan. Khairy telah mencadangkan agar dicipta satu sayap
baru bernama Putera Umno dan melantik Abdul Azeez sebagai peneraju
utama untuk menjangkau pengaruh di universiti tempatan dan pusat
pengajian tinggi. Khairy sedar betapa beliau amat kekurangan sokongan
masyarakat ini dan amat memerlukannya. Abdul Azeez diberikan peranan
mencari pengaruh ini sambil melumpuhkan pengaruh Reezal.
Sekali gus Reezal menjadi kucing jantan yang sudah dikasi, dikelilingi
Putera Umno yang mudah disogok dan diberikan apa juga yang mereka
mahu. Seandainya satu hari nanti Reezal cuba menggoncang takhta
Khairy dia akan berdepan dengan satu kumpulan anggota Putera Umno
yang bersedia melibas beliau ke tepi. Khairy tidak perlu gusar lagi
dilihat sebagai lulusan Oxford yang ketandusan sokongan daripada
golongan kelas menengah bawahan. Itu tugas Abdul Azeez untuk
menyelesaikannya.
Masa akan terus berlalu tetapi Khairy tidak mampu membiarkan dirinya
menangani masalah ancaman yang muncul daripada Pemuda Umno
semata-mata. Masih ada bahaya yang lebih besar dan mengancamnya
untuk menjadi seorang Perdana Menteri ketika berusia 40 tahun. Ada
ikan yang lebih penting untuk digoreng dan ikan itu bernama Najib...







No comments:

Post a Comment