Adz

Friday, December 24, 2010

Hikayat Khairy Jamaludin - Pertabalan Seorang Raja - BAB 14

BAB 14
Pertabalan seorang Raja


Satu ketika dulu, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku
Abdul Rahman Putra, pernah berjenaka betapa dia senang hati dengan
tugasnya sehingga tidak ingin melepaskan jawatan itu secara tergesa-gesa.
Malahan, dia pernah berkata secara berseloroh juga bahawa Timbalannya,
Tun Razak masih muda lagi untuk menjadi penggantinya. Memanglah,
seperti biasa, Tunku suka bergurau. Akan tetapi, peristiwa itu lama
terpahat di minda Tun Razak sehinggakan dia mula naik jengkel. Selang
beberapa tahun selepas itu, Tunku mula merasakan tindakbalas Tun Razak
yang sudah mula mual dan merasakan betapa takhtanya dirampas sejurus
meledaknya peristiwa 13 Mei 1969.
Beginilah laluan golongan putera mahkota yang sudah menghampiri kuasa
singgahsana, selalunya amat sensitif akan ketidakstabilan kedudukan
mereka. Selagi mereka tidak mengecapinya, kedudukan mereka tetap
goyah laksana telur di hujung tanduk. Seseorang raja sesungguhnya
mempunyai kuasa ke atas seseorang putera mahkota dan golongan ini
selalunya terpaksa berdepan dengan raja yang perkasa ataupun seseorang
yang menjadi gila kuasa disebabkan terlalu lama mencengkamnya.
Kini, walaupun zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi masih
muda usianya, tanda-tanda lesu dan penat sudah kelihatan. Rajanya lemah
dan tidak bersemangat langsung. Putera mahkota pula terlalu ghairah
menyambar peluang untuk memainkan peranan itu. Harus difahami
dengan nyata bahawa walaupun Najib Tun Razak adalah orang yang
bakal menggantikan Abdullah, dan Anwar Ibrahim merupakan orang yang
mengidam tak sudah, pengganti sebenar kepimpinan Abdullah nanti ialah
menantunya, Khairy Jamaluddin. Pada usia muda, 30 tahun, Khairy sudah
ternyata merupakan Peneraju Masa Depan yang tidak disangkal lagi.


Khairy tentu sedar betapa rapuhnya kedudukan beliau kini. Walaupun
merasa selamat dengan sebab talian jodohnya, dia tidak boleh merasa
selesa kerana kedudukan Abdullah yang begitu kurang meyakinkan
sebagai nakhoda bahtera negara. Khairy perlu menjadi seorang raja
secepat mungkin ataupun menggantikan bapa mertuanya dengan
pemerintah baru yang terhutang budi kepadanya. Sejak kebelakangan ini
keperluan itu semakin mendesak. Keadaan tidak stabil sudah semakin
menular dalam kerajaan Abdullah setelah rakyat Malaysia sedar betapa
orang yang begitu kuat mereka sokong semasa pilihan raya umum dulu
masih tidak mampu menunaikan segala janji-janji yang dibuat.
Pada November 2003, semasa Abdullah naik takhta sebagai Perdana
Menteri, Khairy dengan berani berkata kepada kawan-kawannya bahawa
dia akan sumbatkan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dalam
penjara, bersama kawan baiknya Daim Zainudin dan lain-lain kenamaan
pada zaman mereka. Dua tahun sudah pun berlalu, Dr. Mahathir masih
terbukti masih raja politik Malaysia, dengan kecekapan taktik remote
control, yang ternyata memang begitu gayanya sejak dulu. Dr. Mahathir
secara terbuka mencabar kuasa Abdullah dengan membangkitkan isu
AP dan membuat kerajaan Abdullah kelihatan lebih korup berbanding
kerajaannya dulu. Malah, dalam banyak hal, Dr. Mahathir telah
menunjukkan yang dia bukan mudah diketepikan. Abdullah memang
sedar yang dia tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya, walaupun
dalam hal ehwal Umno, tanpa mengambilkira pendapat Dr. Mahathir.
Sebagai contoh, kisah perlantikan Mahadzir Khalid sebagai Pemangku
Menteri Besar Kedah. Semua orang tahu bahawa Menteri Besar yang
ada, Syed Razak sudah uzur sejak beberapa bulan. Namun, Abdullah
mengambil masa yang lama untuk melantik seorang pemangku
Menteri Besar, bukan disebabkan ketiadaan calon. Abdullah sendiri
yang membuat pengakuan kepada satu rombongan yang dianggotai
timbalan-timbalan menteri Umno Kedah dan ahli Exco, bahawa Syed
Razak tidak boleh diketepikan kerana beliau adalah orang Dr. Mahathir.
Demikianlah lembiknya Abdullah Badawi, sehingga dia telah terhalang
untuk melantik orang-orangnya sendiri sebagai Menteri Besar Perlis,
Kedah, Selangor, Johor dan Sabah. Hanya di Negeri Sembilan, Abdullah
berjaya meletakkan calonnya sebagai pemimpin utama di negeri itu.
Ketakutan Abdullah terhadap kuasa Dr. Mahathir begitu real. Abdullah
tahu yang Dr. Mahathir tidak akan bertolak ansur dengan serangan
terhadap mana-mana peninggalannya. Lebih buruk lagi, kini Dr.


Mahathir sudah sedar sepenuhnya kemusnahan peninggalannya yang
mampu dilakukan oleh Khairy dan rakan-rakannya. Jadi Abdullah duduk
di pejabatnya di Putrajaya, separuh tidur, separuh menggigil, tidak sedar
akan langkah-langkah Dr. Mahathir tetapi sedar akan ancaman yang
mampu dilakukannya.
Najib Tun Razak memang sudah jelas amat mengecewakan. Walaupun
mulut dia sentiasa berbuih mengulang laungan pembaharuan yang digesa
oleh Abdullah, Najib ternyata bersikap dingin dalam menyokong dasardasar
Abdullah. Malah, dalam isu AP, Najib yang memang tidak rapat
dengan Rafidah, hanya memainkan peranan seorang jurucakap, seolaholah
dia berlakon dalam drama sekolah rendah. Najib terlalu berhatihati,
tidak bersedia bersuara lantang mempertahankan ketuanya, kerana
wujudnya kesedaran kalau berlaku sesuatu kepada ketuanya, dialah yang
akan menggantikan tempatnya.
Inilah yang membuatkan Khairy sukar tidur pada malam hari,
mencongak akan segala rencana yang dilakar sejak dua tahun dulu masih
lagi tidak berapa menjadi. Khairy masih merasakan bahang ancaman
kepada impiannya untuk menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia
yang paling muda. Dia amat mengharapkan ketokohan Anwar dapat
membantu sejurus dia berjaya memujuk Abdullah menerima Anwar
kembali menganggotai Umno. Akan tetapi Anwar pun sudah semakin
kehilangan kilauannya. Gara-gara terlalu kerap berada di luar negara,
Anwar sudah semakin renggang dengan para penyokong kuatnya dengan
memilih bulu seperti mana dia berlagak semasa masih berkuasa dulu.
Yang lebih penting lagi, Anwar sudah gagal menunaikan janji untuk
memimpin puak pembangkang ataupun membawa pulang dana yang amat
diperlukan daripada dermawan luar seperti yang pernah dijanjikannya.
Kegagalan beliau memujuk DAP menerima PAS, yang merupakan usaha
utama beliau semasa pilihan raya umum 1999 dulu, ternyata mencalar
keupayaannya.
Pucuk pimpinan PAS sudah semakin mencurigai Anwar dan para
pembantunya. Mereka amat sedar betapa Anwar masih intim dengan
Khairy dan berhasrat mahu rujuk kepada Umno dan menerajuinya semula.
Walaupun dua pemimpin utama PAS, presidennya, Abdul Hadi Awang
dan Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, masih menghormati
Anwar setiap kali dia berada di wilayah mereka, ramai pemimpin PAS
yang lain, termasuk golongan profesional dalam parti terus mengadakan
pertemuan rahsia merancang strategi bagaimana bertindak seandainya


Anwar memeranjatkan mereka mengenepikan puak pembangkang hanya
kerana mahu berada dalam Umno semula.
Ada seorang naib presiden PAS yang telah bertemu sendiri dengan Khairy.
Mereka bertemu dua bulan lalu di sebuah bilik di Hotel Crown Princess,
Kuala Lumpur. Pertemuan itu adalah tidak formal tetapi ada dua perkara
yang telah mereka bincangkan. Pemimpin PAS itu telah memberitahu
Khairy bahawa Anwar tidak akan berjaya membawa PAS menganggotai
BN semula. Ini merupakan satu tindakan di mana Abdullah Badawi
pernah mainkan peranan utama di tahap awal kepimpinan kerajaan Tun
Razak. Kedua, Khairy telah memberitahu pemimpin PAS itu bahawa
walaupun Anwar memang sedia diterima balik oleh Umno, partinya
PKR mesti dibubarkan dulu sebelum kemasukan Anwar dapat diterima
semula.
Walaupun Anwar menafikan ini secara terbuka, Anwar tetap tidak muak
memberitahu pendengarnya betapa Umno kerap menghantar pesanan agar
dia menimbangkan semula untuk menganggotai parti itu. Beberapa hari
yang lalu di Kota Bharu, Anwar ada menyebut perihal seorang mantan
Menteri Besar dan beberapa pemimpin bahagian Umno menjemput
beliau rujuk semula untuk mereformasikan Umno. Para pendengarnya
tentu lebih yakin akan cakap-cakap Anwar kalaulah dia berani menyebut
nama mereka secara terus terang.
Mantan Menteri Besar itu ialah Osman Aroff, seorang ahli politik Kedah
yang begitu terkenal dengan korupsi yang amat tinggi dan kini laksana
kucing kurap sahaja di kalangan pucuk pimpinan Umno. Osman Aroff
pernah menjadi orang suruhan Anwar di Kedah, dalam usaha memerangi
pengaruh penyokong utama Dr. Mahathir di sana yang bernama Sanusi
Junid. Tetapi, Osman Aroff sudah tidak berpengaruh lagi dan tidak
dihiraukan oleh sesiapa. Pemimpin bahagian yang Anwar maksudkan
itu termasuklah Afifuddin Omar, seorang loyalis Anwar yang cuba
memainkan peranan yang sama dengan Abdullah tetapi telah tertipu
apabila diberikan kerusi negeri sebagai ganti dengan jawatan kabinet
yang amat ditagihnya.
Semua individu ini berjumpa dengan Anwar kerana tidak ada orang lain
yang mahu menemui mereka.
Sejak Khairy meninggalkan pejabat Perdana Menteri, Abdullah sudah
mula menerima laporan khas Cawangan Khas (SB) di rumahnya dengan


selesa dan tidak lagi di pejabatnya. Alasannya? Untuk membolehkan
Khairy muncul semasa taklimat diberikan, seolah-olah secara kebetulan
sahaja dan membolehkan beliau menarik kerusi yang terdekat untuk
mengetahui maklumat rahsia yang dibincangkan.
Dalam hal ehwal yang bersangkutan dengan Anwar Ibrahim, Khairy
diberikan tugas khas untuk menilai maklumat SB itu semua dan
merancang satu strategi khas untuk bapa mertuanya. Abdullah sedar
betapa Anwar adalah lebih penting kepada Khairy kalau dibandingkan
kepada keperluannya sendiri. Lagi pun kalau ada usaha membawa Anwar
kembali kepada Umno, ia akan mengilaukan masa depan Khairy sebagai
seorang tokoh politik yang berwibawa pada hari muka. Anwar pula
dijangka dapat memberikan sokongan kepada Khairy kalau diasak oleh
Najib. Akan tetapi, pada waktu yang sama Abdullah sedar segala usaha
membawa Anwar semula akan mencetuskan satu keadaan di mana dia
sendiri akan berdepan dengan gerakan bersepadu yang datang daripada
Dr. Mahathir dan Najib. Kerana itu, helah membawa masuk Anwar
adalah usaha untuk Khairy menonjolkan dirinya sebagai calon tengku
mahkota yang ingin naik menjadi raja yang berdaulat dan berkuasa.
Yang peliknya, Anwar tidak pernah menceritakan urusannya dengan
Khairy kepada umum. Tetapi, secara peribadi, Anwar memang
mengagumi Khairy sehingga satu tahap seolah-olah dia cemburu juga.
Tidak kiralah apa kelemahan Khairy, Anwar menganggap beliau sebagai
kunci utama untuk pulang semula ke pangkuan Umno dan kuasa. Khairy
juga merupakan kunci utama Anwar untuk menyerang balas Dr. Mahathir
Mohammad. Walaupun perkara ini boleh dianggap aneh, orang dalaman
Anwar sudah diberikan panduan bukan sahaja untuk menghormati
Khairy, tetapi cuba mendekati penasihat Khairy seperti Omar Ong dan
Ahmad Zaki Zahid.
Politik mempunyai pasang surut yang sungguh aneh, kerana sukar diramal
dengan tepat sekali. Dalam beberapa minggu yang mendatang, lakonan
ini akan dimainkan sehingga ke kemuncaknya. Beberapa tindakan sedang
dirancang oleh pihak Khairy dan juga oleh pihak lain yang terlibat dalam
drama ini yang akan memuncak dan membawa perubahan kepada warna
politik Malaysia. Khairy sedang berdepan dengan satu ujian besar dalam
kerjaya politiknya yang begitu singkat tetapi cepat naik mencanak.













No comments:

Post a Comment