BAB 8
Fajar menyinsing, senja berlabuh
Beberapa minggu yang lalu, salah seorang bekas Setiausaha Politik
Anwar Ibrahim merangkap orang yang dipercayainya, Azmin Ali,
telah membuat pendedahan dalam satu temubual. Secara selamba Azmin
telah berkata bahawa sejak pembebasan Anwar pada September 2004,
Anwar Ibrahim telah menghabiskan banyak masa berbual di telefon
dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Azmin kelihatan berhatihati
dengan topik perbualan itu sambil menyebutnya sebagai ‘perbualan
biasa’ yang menyentuh isu terkini dan dasar kerajaan.
Daripada satu sudut, Azmin telah membuat kiasan yang Anwar kerap
memberikan nasihatnya kepada Abdullah bagaimana cara meningkatkan
lagi prestasi kerajaan. Walaupun perkara ini boleh dipertikaikan - apabila
mengambilkira betapa tingginya martabat Jabatan Perdana Menteri
- kenyataan Azmin itu mampu menyerlah satu pengertian, walaupun
Anwar dianggap sebagai orang yang tidak diingini dalam Umno, beliau
sebenarnya semakin cergas dalam kancah politik Malaysia.
Golongan yang curiga mungkin boleh dimaafkan seandainya mereka
berfikir bahawa kenyataan Azmin itu hanya satu helah untuk melawan
kehampaan ramai penyokong puak pembangkang yang merasakan Anwar
sudah menghabiskan terlalu banyak masa di luar negara. Mungkin juga
Azmin cuba menghidupkan kembali zaman dahulu kala di mana beliau
merupakan orang dalam antara orang-orang dalam pejabat Anwar yang
turut mencorak dan mewarnai strategi harian bagi pihak yang berkuasa.
Namun demikian, kesahajaan dalam kenyataan Azmin itu mungkin ada
juga kebenarannya.
Hakikatnya di kalangan orang-orang (dalaman) Anwar sendiri, di mana
dinding kamarnya adalah begitu nipis sekali; apa juga titik-bengik
semacam itu tidak pernah dirahsiakan. Malah, kalaulah perbualan
beliau dengan Abdullah ditentukan jauh daripada pengetahuan para
pemimpin kerajaan yang lain, namun di pihak Anwar, perbualan telefon
selalu sangat dibuat melalui telefon bimbit di depan para pelawat dan
pengunjung. Mutakhir ini perbualan Anwar kerap sangat disaksikan
oleh sesiapa sahaja yang hadir ketika itu seperti ilmuwan Islam yang
datang mengunjunginya, pemimpin puak pembangkang, dan apatah
lagi pembantu-pembantu khas yang memang sentiasa rapat berada di
sisinya. Tidak menghairankan, para pembantu Anwar memang menaruh
kebanggaan terhadap gelagat ketua mereka yang sentiasa berhubungan
melalui telefon dengan Perdana Menteri Malaysia.
Sejurus beliau dibebaskan dahulu, Anwar pernah menyatakan hasrat mahu
bertemu dengan Abdullah dan permohonan itu kerap diulang daripada
katilnya di Jerman. Namun, permohonan yang dikemukakan oleh Azmin
telah dipandang sepi sahaja. Ketika suasana ketakutan menular di
kalangan pemimpin Umno kemungkinan Abdullah menerima kembali
Anwar ke pangkuan Umno, sedangkan Umno sudah pun menganggap
beliau sebagai seorang penderhaka, Anwar telah mencetuskan satu usaha
mengadakan pertemuan itu secara terbuka dalam satu majlis sambutan
Hari Raya.
Usaha pertemuan awal itu adalah satu pertanda bahawa Anwar tidak
akan menggugat Abdullah, sekurang-kurangnya sepanjang tempoh
pentadbiran Abdullah. Walaupun ada keraguan di kalangan Umno
bahawa bayangan Anwar akan mula menghambat mereka yang pernah
menganiaya beliau selama ini, nampaknya besar kemungkinan Anwar
tidak akan menggugat kedudukan Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Malah, Anwar sudah muncul sebagai satu ikon yang berguna untuk
menonjolkan imej Abdullah di tahap antarabangsa sebagai seorang
pemimpin yang memang jujur mahu melakukan pembaharuan. Di tanah
air sendiri rakyat biasa disogokkan idea betapa Abdullah memang ikhlas
mahukan para hakim bebas membuat keputusan dalam kes Anwar, dan
ini adalah satu gambaran akan ketokohannya. Walaupun ada pandangan
para pemimpin Umno bahawa Anwar tidak dibawa masuk semula
menganggotai parti, Abdullah ternyata mempunyai pendiriannya yang
tersendiri.
Memanglah, pendirian begini mungkin tidak menonjol sangat ketika
ini. Pembebasan Anwar telah membuatkan ramai pemimpin Umno yang
melatah apabila mereka menyerang kumpulan (Abdullah dan orang
dalamannya) yang mungkin menyimpan hasrat agar Anwar masuk
menganggotai Umno semula. Sesungguhnya kesangsian yang ada pada
Hishammuddin Hussein dan anak-anak Dr. Mahathir - Mukhriz dan
Mokhzani – bahawa Anwar berkemungkinan rujuk semula memanglah
satu ketakutan yang tulen. Tidak ramai di kalangan pucuk kepimpinan
parti yang mampu menyaingi karisma Anwar dan seandainya diadakan
satu pertandingan terbuka di mana Anwar dibiarkan turut serta, besar
kemungkinannya beliau akan menang. Namun demikian, kata-nista dan
sindiran terhadap Abdullah serta anak menantunya sudah cukup untuk
menghentikan kedua-duanya daripada memberikan sokongan kepada
Anwar seperti di awal bulan September 2004.
Apapun, di sebalik tabir, Abdullah dan Khairy masih lagi mengekalkan
satu bentuk perhubungan dengan Anwar. Abdullah sendiri tidak
menceritakan mengenai perbualan telefonnya dengan Anwar. Akan
tetapi, Khairy mengambil sikap yang terbuka kepada rakan-rakan yang
rapat dengannya, mengenai pertemuan beliau dengan orang kuat Anwar
seperti pemimpin Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohd
Noor. Mereka yang mengetahui kisah ini termasuklah orang yang rapat
dengan Khairy yang semestinya penyokong Anwar juga seperti Zambry
Abdul Kadir dan juga beberapa nama lain seperti Norza Zakaria.
Sebab musababnya terjadi perbezaan dalam sikap antara Abdullah
dan Khairy memang amat jelas. Abdullah sudah pun menjadi seorang
Perdana Menteri. Dia tidak terdesak memerlukan pertolongan Anwar
kecuali sebagai contohnya dia dicabar oleh kuasa yang memihak kepada
bos lamanya Dr. Mahathir, yang mungkin diketuai oleh timbalan beliau,
Najib Tun Razak. Sebaliknya, Khairy mahu menjadi seorang Perdana
Menteri tetapi beliau masih belum sampai ke garisan penentuan itu
lagi. Kerana itu dia amat memerlukan sebanyak mungkin sekutu
memandangkan betapa sengitnya pertempuran yang perlu dihadapinya
pada masa depan.
Hubungan baik antara orang-orang Abdullah dengan orang-orang Anwar
sudah lama bermula sejak Abdullah mula-mula memegang jawatan
Timbalan Perdana Menteri. Ketika itu, Anwar dan Ezam masih berada di
penjara - Ezam berada di Pusat Tahanan Kamunting sebelum dialihkan
ke Penjara Kajang, sementara Anwar dipenjarakan di Sungai Buloh.
Dalam usahanya mahu menekan kerajaan, Ezam telah menghubungi
anak lelaki Abdullah, Kamaluddin, melalui seorang orang tengah yang
menganggotai pergerakan pemuda Umno, meminta bantuan Abdullah
agar beliau memihak kepada penderitaan yang mereka hadapi. Tetapi
sebagai seorang ahli perniagaan, Kamaluddin tidak berminat dalam
dunia politik, walaupun Kamaluddin dan Ezam pernah bertukar-tukar
banyak mesej ataupun pesanan. Tiada sebarang perubahan sehinggalah
Kamaluddin menyatakan keluhan kepada adiknya Nori.
Nori telah menunjukkan sedikit minat dalam perhubungan itu. Beliau
telah bertanya kepada Abdullah, dan mengikut kata Ezam, Nori meminta
Abdullah melakukan yang terbaik agar tahanan ISA dibebaskan. Nori
turut memberitahu Khairy yang terus sedar betapa wujudnya nilai tambah
dalam memberi sedikit ruang tolak ansur kepada Ezam. Tujuan berbuat
demikian ialah menilai keadaan sebenar sejurus Abdullah menjadi
Perdana Menteri.
Pada tahap awal cubaan itu jelas dingin sahaja. Tetapi dengan adanya
mantan Timbalan Ketua Pemuda Keadilan, Hamdan Taha yang telah
keluar parti untuk menyertai Umno semula, satu mesej (utusan pesanan)
telah dihantar kepada Khairy menyatakan bahawa kem Anwar sudah
bersedia untuk berunding.
Hamdan Taha sudah lama menjadi orang kanan Ezam. Kemasukannya
semula menganggotai Umno tidak pernah diumumkan secara rasmi, kerana
dibuat secara senyap-senyap sahaja. Namun, dia tetap memberikan nasihat
kepada beberapa anggota utama Exco Pemuda Umno, khususnya bekas
penyokong setia Anwar, Zambry Abdul Kadir. Zambry kerap mengajak
Hamdan menghadiri beberapa sesi pertemuan Pemuda Umno di mana dia
mendapat kesempatan bertemu dengan bintang muda yang menyerlah
yang bernama Khairy Jamaluddin. Selepas beberapa pertemuan, Khairy
sedar bahawa Hamdan adalah berguna untuk memberikan maklumat
mengenai aktiviti parti pembangkang. Hamdan masih menjalinkan
hubungan baik dengan beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk
Ezam. Walaupun dia sudah menganggotai Umno semula, Hamdan kerap
berbual dengan Ezam sama ada melalui telefon yang diseludup masuk
penjara ataupun secara pertemuan peribadi semasa Ezam dihadapkan ke
mahkamah. Hamdan adalah rakan akrab Ezam.
Pada satu ketika selepas berakhirnya satu perjumpaan Exco Pemuda Umno,
Hamdan telah mengajak Khairy berbual dan memberikan satu ‘cadangan’
kepadanya. Hamdan mencadangkan agar Khairy ‘menggunakan’ Anwar
untuk menumpaskan sesiapa sahaja yang mencabar kedudukan Abdullah.
Hamdan telah menyebut kisah para timbalan Dr. Mahathir yang tumpas
di tengah jalan sebelum sempat menjadi Perdana Menteri. Kalau pada
mulanya Keadilan kerap menyerang pelantikan Abdullah menjadi
Timbalan Perdana Menteri, eloklah serangan itu ditumpukan sahaja ke
atas Dr. Mahathir. Sebagai balasan, kes Anwar dan para tahanan ISA
seharusnya menjadi tumpuan Abdullah (sebagai Menteri Hal Ehwal
Dalam Negeri) walaupun dia tidak boleh campurtangan secara terbuka.
Cadangan itu sungguh menyentuh Khairy sehingga beliau terjentik untuk
mula menghantar mesej kepada Ezam melalui Hamdan.
Risikan dan bisikan itu tidak semestinya berakhir dengan kelegaan yang
spontan kepada Anwar ataupun Ezam. Khairy memang begitu berhatihati
kerana beliau begitu kerap diawasi oleh puak Dr. Mahathir dan juga
seterunya dalam kem Abdullah. Beberapa penyokong Abdullah seperti
arwah Fawzi Basri dan Dr. Nordin Kardi adalah musuh ketat Anwar sejak
1970-an semasa mereka sama-sama memegang konsep ultra-nasionalis
bertentangan dengan konsep liberal Islamiah yang dipegang oleh Anwar.
Malahan, dalam kem Abdullah, memang wujud orang dalamannya seperti
Aziz Shamsuddin yang telah mengadakan kenduri pada September 1998
untuk menyambut peristiwa pemecatan Anwar. Kalaulah Khairy mahu
memainkan peranan pegawai seranta dengan kem Anwar, dia terpaksa
berhati-hati agar tidak menggegarkan keadaan yang begitu rapuh.
Pada ketika itu Ezam memainkan peranan untuk merancakkan keadaan.
Dia telah memberi arahan kepada penyokong Keadilan agar menyerang
Khairy secara bertubi-tubi melalui Internet. Dia juga menentukan agar
Khairy dikritik hebat di setiap pertemuan pelajar-pelajar yang ketika itu
memang dirasuk hebat oleh penyokong PAS dan Keadilan. Akhirnya
Khairy sedar bahawa dia perlu menerima pelawaan Ezam kalau tidak
mahu bertentangan dengan musuh yang berada dalam Umno, begitu juga
di kalangan puak pembangkang. Memanglah tidak ganjil menangani
peperangan di dua medan perang tetapi adalah lebih bijak bagi
Khairy berdepan dengan musuh dalaman yang mudah dikawal dengan
menggunakan pengaruh kuasa bapa mertuanya.
Khairy telah menghantar satu mesej kepada Ezam mengatakan yang dia
sudah bersedia untuk berunding.
Keadaan semakin jelas apabila Ezam dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi
Shah Alam. Khairy kini bertemu dan berbincang secara terbuka dengan
Ezam yang selalu muncul bersama satu atau dua orang penyokongnya.
Pada ketika itu juga pucuk pimpinan Keadilan sudah semakin gelabah
disebabkan keadaan kesihatan Anwar yang semakin kritikal dan segala
usaha ditumpukan ke arah pembebasannya. Khairy adalah antara
segelintir pemimpin Umno yang rapat dengan Abdullah yang ditemui
oleh pucuk kepimpinan Keadilan untuk mendapatkan ihsan agar Anwar
dibebaskan. Pemimpin Umno yang lain seperti Aziz Shamsuddin dan
Setiausaha Politik Dr. Mahathir (yang sebenarnya orang Abdullah juga)
Johari Baharom telah ditemui untuk mendapatkan pertolongan. Namun
mereka tidak begitu berkenan dan bersimpati seperti Khairy. Orang lain
sudah menganggap Anwar sebagai tinggalan sejarah. Tetapi Khairy
mempunyai pendirian yang berbeza. Khairy berpandangan Anwar
mempunyai masa depan yang begitu cerah, sekaligus menjadikan dirinya
mentari yang menyinar.
Ketika itulah Khairy mula memikirkan segala ancaman yang bakal
dihadapi oleh Abdullah. Apabila semakin jelas bahawa Abdullah akan
menggantikan Dr. Mahathir dan pelantikan itu bukan satu kerja olokolok,
Khairy mula memikirkan bagaimana cara mengukir satu masa
depan kerjaya politiknya. Sebagai menantu kepada seorang Perdana
Menteri, bintang Khairy memang cemerlang akan tetapi apa yang akan
terjadi seandainya si bapa mertua tidak lagi memegang jawatan itu? Apa
yang akan berlaku kalau kedudukan Abdullah hanya untuk satu tempoh
yang singkat? Khairy tidak boleh bergantung harap kepada Najib Tun
Razak yang menganggap Abdullah sebagai saingannya. Sudah tentu
Najib tidak akan merestui perlantikan Khairy menduduki jawatan
penting dalam pentadbirannya nanti. Untuk mewujudkan seorang calon
menandingi Najib dalam Umno mungkin satu langkah yang tidak bijak
kerana dari segi pengalaman kerja sahaja, Najib sudah terkenal dan
beliau mempunyai sokongan daripada para penyokong Dr. Mahathir.
Hanya satu alternatif yang dianggapnya berkesan, yakni menonjolkan
seorang pencabar yang mampu mengalahkan Najib dalam satu pilihan
raya yang terbuka dan adil. Orang itu ialah Anwar Ibrahim; dan Khairy
faham bahawa Anwar boleh memainkan peranan itu dalam masa yang
terdekat kalau tidak pun sepanjang pentadbiran Abdullah.
Inilah satu peranan yang sedia dilaksanakan oleh Anwar dan orangorang
yang rapat dengannya. Sejurus Anwar dibebaskan, Ezam terus
berhubungan dengan Khairy. Sungguhpun Khairy mengambil sifat
berahsia dengan pertemuan itu, ternyata sekali bahawa rahsia itu hanya
di satu pihak sahaja. Ezam mempunyai perangai memberitahu segelintir
pengikutnya apa yang berlaku. Malah, dia kerap menyebut bahawa
Khairy kerap memberitahu apa yang sedang berlaku dalam Umno
sebelum maklumat semacam itu diketahui umum.
Baru-baru ini Ezam telah bertemu dengan Khairy dan Reezal Merican
Naina Merican. Dalam pertemuan itu Khairy dikatakan telah memberitahu
Ezam bahawa besar kemungkinan Isa Samad, seorang Naib Presiden
Umno, akan digantung keahliannya selama enam tahun kerana politik
wang dan beberapa bentuk korupsi yang lain. Ezam telah memberitahu
kawan-kawan yang rapat dengannya termasuklah penyokong kuat Isa
Samad. Maklumat semacam itu bukanlah perkara yang pelik. Akan
tetapi pertemuan itu berlaku enam hari sebelum Isa dipanggil untuk
mendengar keputusan Jawatankuasa Disiplin Umno merupakan sesuatu
yang aneh juga.
Kepercayaan antara Khairy dan Ezam lebih mirip kepada kepercayaan
antara sekutu politik dan bukannya antara dua sahabat. Kedua-duanya
berkongsi nasib naik mencanak dalam golongan istimewa di puncak
kuasa politik Malaysia, dan kedua-duanya mempunyai cita-cita yang
tinggi dan memang pintar dalam sepak terajang politik. Hanya sejarah
yang akan menentukan apakah persahabatan antara Ezam dan Khairy
ini akan dapat terus bertahan kerana keaslian dan keluhuran niatnya,
ataupun hanya merupakan satu percantuman disebabkan penyesuaian
keadaan semata-mata.
Sementara itu, Anwar Ibrahim masih terus membuat panggilan telefon
jarak jauh untuk berbual dengan Abdullah. Seperti yang disebut
oleh Anwar sendiri, janganlah sesiapa cuba memandang sepi akan
kewujudannya. Memang belum ada sesiapa yang berbuat begitu waktu
ini – tidak juga Abdullah dan Khairy. Seandainya senario politik berubah
dan serangan Dr. Mahathir terhadap pentadbiran Abdullah semakin
memuncak, tidak syak lagi senja yang berlabuh akan disingkap semula
untuk menyinari pentadbiran Abdullah. Kalau Anwar ada bersamasama
dengannya, Khairy percaya beliau mampu menewaskan manamana
pemimpin Umno yang cuba mencabarnya, termasuklah manusia
yang disokong Dr. Mahathir. Menunggu kemunculan waktu itu, Khairy
bersiap dengan satu senjata lagi sebagai persiapan menghadapi perang
besar dalam Umno. Senjata itu bernama duit.
No comments:
Post a Comment