Adz

Tuesday, December 21, 2010

Hikayat Khairy Jamaludin - Putera Oxford ke Putrajaya - BAB 01

BAB1
Lelaki paling berkuasa di Malaysia


Wartawan politik Yahaya Ismail pernah menulis sebuah buku yang
terbaru berjudul ‘Khairy Jamaluddin – Bakal PM?’ Buku itu
mengandungi pelbagai fakta dan ramalan akan masa depan Khairy, tetapi
judulnya tersilap. Khairy Jamaluddin bukannya seorang bakal Perdana
Menteri. Sebenarnya dia sudah menjadi seorang Perdana Menteri defacto.
Abdullah Ahmad Badawi secara sah adalah Perdana Menteri Malaysia
kelima yang mula memegang tampuk kuasa pada November 2003. Walau
bagaimanapun, sebelum dia mengambilalih pentadbiran, agak jelas
bahawa Abdullah Badawi bukan seorang yang mempunyai pendiriannya
sendiri – semua pandangan, tindakan dan perbuatannya sangat
dipengaruhi, jika tidak, diarah oleh menantunya Khairy Jamaluddin,
yang baru berusia 28 tahun dan kelompok rakan-rakannya.
Sesetengah pihak bercakap mengenai tiga K yang merupakan kuasa di
belakang Pak Lah, mereka adalah Khairy, Kalimullah (Ketua Kumpulan
Pengarang New Straits Times) dan Kak Endon (Datin Paduka Seri Endon
Mahmood Ambak, isteri Perdana Menteri), memang tidak syak lagi K
yang pertama sekali itulah yang paling berpengaruh, kerana beliau yang
melantik K yang kedua di jawatannya itu dan mengahwini pula anak
perempuan K yang ketiga. Perkahwinannya itu berlangsung ketika K
ketiga sedang bertarung menghadapi serangan barah payudara. Inilah
penyakit yang mengorbankan kakak kembar beliau.
Ramai yang berkata yang sedemikian bukan perkara pelik. Satu ketika


dahulu Presiden Nixon ada Kissinger dan Maharaja (Tsar) Russia ada
Rasputin. Terdapat beberapa persamaan antara tokoh-tokoh tersebut
dengan Khairy. Paling ketara, nampak sangat semuanya berlagak laksana
tuan-tuan boneka, yang menarik tali benang-benang yang mengikat
watak-watak patung kayu mereka, yang merupakan pemimpin-pemimpin
negara. Mereka semuanya muncul daripada latar belakang yang tidak
menentu dan menjelma secara mendadak di persada kebangsaan dalam
api kemasyhuran. Namun, mereka semua mempunyai kelemahan tidak
sedar diri sejak lahir yang menyebabkan mereka mempercayai bahawa
mereka bukan manusia, kebal dan mengetahui segala-galanya. Akhirnya,
mereka semua menjadi mangsa kepada godaan kekuasaan. Adakah ini
akan terjadi ke atas Khairy juga?
Tanda-tanda tidak puas hati amat jelas. Orang yang mungkin paling
berhati-hati terhadap Khairy ialah mantan Perdana Menteri Tun Dr.
Mahathir Mohamad. Walaupun pada mulanya Dr. Mahathir memang
ghairah menerima kehadiran Khairy dan kawan-kawannya, sehingga
sanggup melantik kawan baik Khairy dari Oxford, Dr. Vincent Lim Kian
Teck sebagai Setiausaha Politik Cina keduanya, akhirnya Dr. Mahathir
mendapati Khairy semakin membayangi Abdullah Ahmad Badawi. Nasi
sudah menjadi bubur ketika Dr. Mahathir sedar akan fenomena itu. Dr.
Mahathir sudah pun mengumumkan persaraannya dan Abdullah sudah
dianggap pewaris yang akan menggantikan tempatnya. Apa juga kesilapan
yang telah dilakukan oleh Dr. Mahathir, dia sedar bahawa dia tidak lagi
boleh mengubah fikirannya mengenai pewaris yang akan menggantikan
tempatnya itu, selepas kegagalan yang hampir melumpuhkannya ketika
menyingkirkan Anwar Ibrahim.
Khairy terus dikekalkan di jabatan Timbalan Perdana Menteri, walaupun
Dr. Mahathir sudah tidak berapa selesa dengan kehadirannya. Dalam satu
majlis anjuran Pemuda Umno, Dr. Mahathir menjadi merah muka ketika
Khairy Jamaluddin bertanya, apakah beliau serius mahu meletakkan
jawatannya. Dr. Mahathir juga menganggap tindakan dan cadangan
Khairy sebagai biadap, apabila meminta Dr. Mahathir menghantar
Abdullah keluar negara untuk berjumpa Presiden Amerika Syarikat. Dr.
Mahathir menganggap idea itu sebagai kurang matang dan tidak perlu.
Dr. Mahathir juga naik angin apabila Mathias Chang (bekas Setiausaha
Politik) melaporkan perihal kata-kata Khairy dalam perjumpaan tidak
rasmi dengan pelajar Malaysia di London, bahawa Dr. Mahathir dan Daim
wajar dimasukkan ke dalam penjara selepas Abdullah mengambilalih
kuasa kelak.


Akan tetapi, seperti semua musuh Khairy, Dr. Mahathir memandang rendah
‘budak mentah’ itu. Beliau beranggapan, sebagai seorang pemimpin yang
memimpin negara selama 22 tahun, dan merupakan orang yang paling
berkuasa dalam negara, mampu menjentik Khairy bila-bila masa dia suka
walaupun ketika dia tidak berkuasa lagi. Dr. Mahathir begitu yakin dengan
cengkaman besinya yang kuat terhadap Umno, dapat digunakan sekali
lagi dari sebalik tabir untuk menundukkan Khairy mengikut kehendak
nafsunya. Tetapi, tidak semudah itu, rupanya. Anak lelaki beliau sendiri,
Mukhriz telah menanggung malu apabila beliau cuba mencabar Khairy
bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno. Di sebalik sokongan wang Dr.
Mahathir yang banyak, serta beberapa majlis kumpulan yang melibatkan
ANSARA (persatuan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA yang
diketuai dan dibiayai oleh Mukhriz), Mukhriz dapati, menantu Perdana
Menteri yang baru, ternyata lebih berpengaruh berbanding anak seorang
bekas Perdana Menteri. Mukhriz telah diaibkan di kawasan Parlimen
bapanya sendiri apabila tewas pertandingan jawatan Ketua Pemuda
Umno dan hanya memperolehi segelintir sokongan dalam usaha merebut
jawatan di peringkat pusat.
Pada November 2003, ketika Dr. Mahathir turun takhta barulah disedarinya
bahawa jawatan orang paling berkuasa negara ini, yang dimilikinya
selama itu dapat diwarisi dan diambilalih oleh seorang anak muda yang
baru berusia 28 tahun sahaja. Kini dan untuk masa yang terdekat, Khairy
ternyata merupakan orang yang paling berkuasa di negara ini. Malah,
lebih berpengaruh daripada Abdullah Ahmad Badawi, Najib Tun Razak
ataupun sesiapa sahaja yang menganggotai Majlis Tertinggi Umno yang
hanya anak-anak katak (berudu) dalam kolam besar milik Khairy.
Beginilah caranya beliau mempengaruhi keadaan yang turut menghimpit
kita semua.
Pertama, Khairy adalah laksana tukang jaga pintu di pejabat Abdullah
Badawi. Setiap surat, faks, cadangan, dokumen, rayuan, komunikasi,
surat-menyurat ataupun apa juga bentuk pembentangan yang sampai ke
meja Abdullah, mestilah ditapis terlebih dahulu oleh pembantunya Datuk
Wan Farid dan Zaki Zahid. Kedua-duanya, Wan Farid dan Zaki Zahid
adalah mata dan telinga Khairy. Setiap cadangan yang mereka terima perlu
dibuat penduanya untuk Khairy Jamaluddin. Semua salinan ini dianggap
perlu kerana Khairy tidak lagi secara rasminya bertugas di pejabat Pak
Lah. Namun demikian, rasmi atau tidak, dia masih menjadi tukang jaga
pintu dan perlu tahu apa juga yang keluar masuk pejabat itu.


Wan Farid dan Zaki Zahid sentiasa bersekongkol dengan Khairy untuk
menentukan siapa yang boleh bertemu dengan Pak Lah. Walaupun
terdapat jawatan Ketua Setiausaha Peribadi yang dipegang oleh Dato
Thajuddeen Abd Wahab (sahabat lama Pak Lah dan pegawai kerajaan),
segala temujanji yang dibuat melalui pejabat Dato Thajuddeen akhirnya
akan dibuat salinan kepada Khairy untuk mendapat persetujuannya.
Kita tidak perlu syak dalam hal ini. Walaupun Dato Thajudeen tidak
bersetuju dengan cara kerja yang sungguh pelik itu, persahabatan beliau
yang begitu lama dan akrab dengan Pak Lah tidak cukup kuat untuk
menafikan karenah menantu ketuanya.
Bukannya murah untuk mendapat temujanji bertemu dengan Abdullah.
Tukang jaga pintu juga berlagak sebagai tukang kutip tol. Ini membuatkan
Umno bising dengan suara-suara tidak puashati, disebabkan harga yang
terlalu tinggi (ada berkata ia setinggi RM50,000) yang dikenakan oleh
orang-orang yang hampir dengan Abdullah hanya untuk mendapat
temujanji dengan Perdana Menteri. ‘Budaya’ seperti ini memang sudah
lama wujud sepanjang pemerintahan lima orang Perdana Menteri di
Malaysia, tetapi belum pernah ia dilakukan dengan begitu rapi dan
terang-terangan seperti sekarang ini. Ini disebabkan bayaran RM50,000
saja belum cukup untuk mendapat temujanji. Masih ada syarat lain;
melibatkan syarikat milik Khairy seandainya projek yang mahu
dibincangkan dengan Perdana Menteri menemui kejayaan.
Tentu ramai yang tertanya-tanya kenapa fenomena begini berlaku
walaupun dengan imej Pak Lah sebagai Mr. Clean? Tetapi imej itu hanya
satu persepsi semata-mata. Kalau dibandingkan dengan Menteri-menteri
yang lain, Abdullah bolehlah dianggap sebagai bersih, tetapi ini bukanlah
kerana memang itu sifatnya. Abdullah telah diberi tugas mengendalikan
kementerian yang tidak banyak ‘habuan’ untuk mengutip ‘ufti’ seperti
Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Luar Negara, dan untuk
beberapa tahun dia tiada dalam kerajaan. Kedudukan politik beliau
sebagai penyokong Tengku Razaleigh-Musa Hitam memang sentiasa
goncang dan Abdullah Badawi sememangnya terlalu takut untuk
meneguk minuman yang dicampuri racun berbisa rasuah itu.
Walau bagaimanapun, keadaan sudah berubah sekarang. Abdullah
Badawi memang ternyata sangat berkuasa selaku Perdana Menteri dan
bergantung kepada Khairy untuk memperkasakan kedudukannya. Khairy
Jamaluddin pula sedar betapa masanya akan sampai apabila Pak Lah
akan dicabar oleh Najib ataupun sesiapa sahaja yang disokong oleh Dr.


Mahathir. Kerana itu dia mesti mengumpul harta karun sementara ada
kesempatan.
Kaedah kedua bagaimana Abdullah dikawal oleh Khairy ialah melalui
desakan Khairy berkaitan perlantikan calon-calonnya ke beberapa
jawatan penting di peringkat pembuat keputusan dalam pejabat Abdullah
dan juga kementerian-kementerian penting lain. Tidak kurang daripada
sepuluh rakan Khairy semasa pada zaman universiti yang berusia lewat
dua puluhan atau awal tiga puluhan telah memenuhi jawatan-jawatan
yang setaraf dengan ketua eksekutif dalam banyak kementerian (kita akan
ceritakan perkara ini dalam laporan lain). Abdullah Badawi tidak boleh
bergerak kalau tokoh-tokoh ini tidak berfungsi. Dengan kata lain, beliau
ternyata terlalu bergantung kepada mereka semua untuk bertindak.
Sebagai contohnya, kisah pemergian Abdullah ke Venezuela untuk satu
misi perdagangan. Orang yang menyediakan jadual lawatan (itineri) ialah
orang pilihan Khairy (rakan yang sama-sama belajar dengannya di UK
dahulu). Beliau menyerahkan cadangannya kepada Pengarah Pelaburan
Khazanah (orang pilihan Khairy juga) untuk dibincangkan. Jadual itu
dibincangkan dengan orang-orang Ethos Consulting (syarikat milik
Khairy), dan akhirnya diluluskan oleh mesyuarat kakitangan Kementerian
Luar yang akan dihadiri oleh Khairy sendiri walaupun dia tidak punya
jawatan rasmi dalam kerajaan. Sebaik sahaja Abdullah pulang daripada
Venezuela, butiran perbincangan beliau dengan Presiden Hugo Chaves
dibincangkan dengan pejabat peribadi Perdana Menteri (yang diketuai
dan dianggotai oleh orang pilihan Khairy). Segala keputusan akan dibuat
oleh Abdullah selepas berbincang secara intim dengan menantunya di
rumah. Apa yang hendak dihairankan kalau Khairy memang mengawal
pergerakan Abdullah – dan inilah caranya yang sebenar bagaimana
lawatan Abdullah Badawi ke Venezuela berlaku.
Yang ketiga, Khairy Jamaluddin mempengaruhi Abdullah Badawi dengan
cara menonjolkan peranannya secara tidak rasmi sebagai penasihat
Perdana Menteri yang paling akrab. Pernah berlaku satu peristiwa yang
menjelaskan fenomena ini. Ia terjadi apabila Menteri Luar, Syed Hamid
Albar meminta diadakan satu mesyuarat tertutup yang dianggap khusus
untuk orang atasan sebagai majlis memberi penerangan kepada Perdana
Menteri. Yang hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian dan Timbalantimbalannya
– dan Khairy Jamaluddin yang ketika itu tidak memegang
sebarang jawatan dalam Jabatan Perdana Menteri ataupun apa juga
bentuk jawatan kerajaan. Syed Hamid mahu pertemuan itu tidak dihadiri


oleh Khairy. Abdullah menjadi gelabah kerana memikirkan kalau Khairy
tidak hadir beliau mungkin tidak mendapat nasihat yang jujur. Jadi,
Khairy pun tumpang sekaki. Keadaan begini bukan saja menunjukkan
betapa besarnya pengaruh Khairy, malah ia juga mendedahkan kelemahan
Abdullah dalam menjalankan tugasnya.
Di sinilah letaknya bahaya si Khairy Jamaluddin. Dia bukannya seorang
pegawai kerajaan yang dilantik. Namun, pengaruhnya melebihi pengaruh
keseluruhan kabinet, termasuk juga pengaruh Timbalan Perdana Menteri
Najib Tun Razak. Selagi Abdullah mencengkam kuasa dan Khairy masih
beristerikan anak perempuan Abdullah (Nori), Khairy Jamaluddin akan
terus menjadi pemerintah nombor satu negara ini. Sama ada disedari
ataupun tidak, demokrasi di Malaysia ini semakin mengecut sejak Khairy
Jamaluddin muncul di pentas politik sehinggakan tiada lagi timbang tara
dalam kerajaan.
Sudah tentu rakyat Malaysia wajar disedarkan akan fenomena Khairy
Jamaluddin kerana kehidupan mereka kini banyak bergantung kepada
insan ini. ‘Malaysia Today’ akan menerbitkan kisah kemunculan
Khairy dan bagaimana dia mempengaruhi Umno dan kerajaan, sambil
menamakan sekutu-sekutu dan musuh-musuhnya dan bagaimana beliau
berinteraksi dengan mereka. Yang lebih penting, Malaysia Today akan
cuba mendedahkan misteri yang menyelimuti Khairy dan bagaimana dia
menggunakan pengaruhnya untuk menjangkau kuasa yang lebih luas.

No comments:

Post a Comment