Adz

Friday, December 24, 2010

Hikayat Khairy Jamaludin - Lahirnya Seorang Jurujual -BAB 09

BAB 9
Lahirnya seorang jurujual




Memang menyedihkan tetapi inilah hakikat. Wang atau duit sudah
menjadi darah daging politik di Malaysia. Korupsi sudah menjadi
wabak dalam parti-parti politik dan wang merupakan pelincir bagi
memanjat naik ke puncak kuasa. Wang memang sudah dianggap penting
bukan sahaja sebagai sogokan kepada para pengundi dan para penyokong
parti tetapi bagi menakut-nakutkan orang lain yang cuba menjadi pencabar.
Lebih banyak wang di tangan, lebih mudah seseorang itu mempertahankan
kedudukannya kerana sesiapa yang ingin mencabar akan menjadi takut
dan kecut perut untuk terus menjadi calon pencabar yang berwibawa.
Seseorang yang tidak layak memegang jawatan tetapi mempunyai beratus
juta ringgit sudah tentu mampu menundukkan calon yang lebih berwibawa
tetapi tidak punya kekayaan yang boleh ditonjolkan kecuali kepintaran,
pengalaman kerja dan usaha dirinya.
Inilah yang amat difahami oleh Khairy Jamaluddin. Sejarah Pemuda
Umno memang sarat diwarnai pelbagai contoh seperti itu, sekurangkurangnya
sejak tahun 1990-an lagi. Pemuda Umno sudah memilih wang
untuk mengenepikan kebolehan ataupun bakat. Inilah cerminan parti
induknya, tetapi kesibukan Pemuda Umno untuk mengayakan diri telah
diperkuatkan lagi oleh gelagat Zahid Hamidi yang telah menggunakan
berjuta-juta ringgit yang telah dikautnya semasa menjadi Pengerusi Bank
Simpanan Nasional. Itulah dana yang digunakannya untuk membuka jalan
dan laluan dalam dunia politik, sedangkan dia masih mentah dan tidak
diketahui akan kualiti kepimpinannya. Barulah, semua pencabar beliau
seperti Rahim Tamby Chik dan Isa Samad sedar betapa orang seperti
Zahid hanya dapat dicabar dengan kekuatan wang dan penajaan politik
yang lebih perkasa. Justeru, lahirlah budaya politik wang pada awal 1990-
an di mana Umno hilang arah dan terus terjerumus ke lembah kerakusan.


Laluan awal Khairy Jamaluddin bukanlah dengan kekayaan walaupun
latar belakang keluarganya sendiri merupakan golongan berada dengan
kedudukan ayahnya yang dikenali dalam komuniti diplomatik negara.
Namun, keluarga Khairy tidak dapat menandingi beberapa tokoh
Pemuda Umno seperti kelompok Hishammuddin Hussein – Najib Tun
Razak yang merupakan zuriat seorang bilioner Melayu pertama - Tan Sri
Noah. Ataupun keluarga Sheikh Fadzir yang dianggotai oleh Kadir, Aziz,
Musa dan Haidar yang mempunyai istana tersergam di Kulim yang dapat
mengerdilkan Istana Negara di Kuala Lumpur. Inilah yang membuatkan
Khairy sedar betapa dia juga perlu mengumpul harta karun. Lebih-lebih
lagi setelah mengambilkira piawaian Malaysia, bapa mertuanya Abdullah
Badawi bukanlah orang yang berharta sangat.
Satu asas memacak khazanah perbendaharaan politiknya telah diwujudkan
untuk membolehkan para penyokongnya melebarkan pengaruh
mereka. Berbeza dengan gelagat ramai ahli politik Umno yang terlalu
bergantung kepada kontrak kerajaan untuk memperkayakan diri sendiri,
Khairy tidak banyak menggunakan taktik itu. Ini tidak bererti bahawa
Khairy meminggirkan kontrak kerajaan untuk kepentingan beberapa
kroni politik beliau. Rozabil Abdul Rahman adalah seorang penerima
kontrak kerajaan yang besar-besar di beberapa buah negeri. Beberapa
ahli keluarga Khairy juga memiliki saham secara proksi dalam banyak
syarikat. Kontrak yang diberikan kepada Rozabil sudah tentu merupakan
kontrak untuk Khairy. Ini termasuk pelbagai projek seperti pembekalan
air bersih kepada ratusan sekolah di Malaysia Timur dan pembekalan
paip air kepada pejabat kerajaan di Kedah. Masa terus berlalu, dan orang
politik dalam Umno yang mahu membodek Khairy telah memberikan
kontrak kepada puak-puak yang mereka anggap memang menyebelahi
beliau. Atas sebab itu, Menteri Besar Kedah, Syed Razak Syed Zain telah
melantik ibu Khairy, Datin Rahmah sebagai (salah seorang) penasihat
dalam urusan ekonomi dan kewangan negeri.
Kini, ramai yang sudah mengetahui cerita mengenai Raja AP, Haniff
Aziz adalah sepupu kepada Khairy Jamaluddin. Umum sudah
mengetahui bahawa Haniff yang pernah menjadi pegawai MITI telah
diberikan puluhan ribu AP tanpa mempunyai kelayakan menerimanya.
Segala AP itu telah diberikan walaupun tidak wujud bilik pameran
(showroom) dan kebanyakan AP itu telah dijualnya dengan pantas
kepada pengimport kereta yang tidak mampu menagih pengaruh menteri
yang bertanggungjawab. Inilah kunci rahsia kejayaan Haniff. Menjadi
sepupu kepada Khairy memang berguna tetapi bukan kunci kejayaan


menduduki takhta Raja AP. Disebabkan kemampuannya menggoda Ratu,
Rafidah Aziz, sejak lebih kurang lima tahun, Haniff Aziz telah menjadi
sebahagian penting daripada hidup Rafidah. Hubungan intimnya dengan
Rafidah merupakan pintu kepada ratusan juta miliknya kini.
Walaupun segala kontrak kerajaan itu agak besar, semua itu adalah
dianggap ‘kacang’ sahaja jika dibandingkan dengan gelagat mengumpul
harta karun milik negara, seperti yang pernah dilakukan oleh Daim
Zainuddin, Rafidah Aziz dan Zahid Hamidi. Khairy hanya mendapat
beberapa juta yang tidak mencukupi bagi menaiki mercu kuasa Umno.
Memang terdapat banyak ranjau dan onak dalam laluan seorang ahli
politik yang kini dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang ghairah
mahu membasmi korupsi. Kerana itu, Khairy perlu memikirkan rencana
yang lebih besar untuk mengumpul harta, pertamanya dalam himpunan
yang banyak, dan kedua, mengikut cara yang kelihatan bersih dan
halal.
Langkah pertama yang dilakukan oleh Khairy ialah mewujudkan satu
syarikat yang dinamakannya Ethos Consulting. Ada dua sebab kenapa
Khairy mahu menempatkan Ethos Consulting di pejabat Najib. Alasan
utama sudah pun didedahkan dalam artikel (hikayat) yang terdahulu.
Alasan kedua ialah faktor ekonomi. Najib Tun Razak dianggap sebagai
lembu suci kerana keupayaan beliau menguasai perbelanjaan besar
terhadap pertahanan negara. Hubungan baik beliau dengan bekas Perdana
Menteri Tun Dr. Mahathir dan sokongan yang diterimanya daripada Dr.
Mahathir membolehkan beliau menerbus segala peluang dalam sistem
aset negara. Ethos Consulting ditempatkan di kementerian itu sebagai
batu loncatan kepada Khairy. Ketua Ethos Consulting ialah Dr. Liew, yang
diberikan tugas rasmi memberikan nukilan idea bagaimana merombak
kaedah perbelanjaan pertahanan dan kaedah perolehan. Sedangkan Dr.
Liew sudah diketahui umum sebagai rapat dengan golongan politik di
Singapura. Malah, Dr. Liew telah memberi maklumat kepada Khairy
bagaimana para kroni beliau dapat diberikan kontrak yang penting
pada harga yang sengaja dinaikkan tinggi, seperti amalan biasa dalam
Kementerian Pertahanan sejak berdekad lagi.
Satu lagi sumber kewangan yang besar di bawah naungan Najib ialah
FELDA. Satu ketika dahulu Tun Dr. Mahathir telah memberikan tugas itu
kepada Menteri Kewangan Kedua, Jamaluddin Jarjis yang memang rapat
dengan Najib. Abdullah telah menurunkan pangkat Jamaluddin tetapi
oleh sebab kebanyakan tugas Jamaluddin dahulu adalah melaksanakan
perubahan kepada FELDA yang sudah pun sampai ke tahap akhir


perancangannya, satu kompromi dibuat untuk meletakkan FELDA di
bawah naungan Najib. Dengan demikian Abdullah beranggapan bahawa
Jamaluddin tidak berapa kecewa dengan tindakannya, dan Najib mudah
dipertanggungjawabkan seandainya harta karun ini berada jauh daripada
jangkauannya.
Walaupun FELDA berada di bawah bidang kuasa Najib, beberapa
keputusan yang penting banyak dipengaruhi oleh Khairy dan Ethos
Consulting. Pada mulanya tugas penstrukturan FELDA dan pengurusan
jualan asetnya telah difaraidkan kepada Avenue Assets, syarikat
kesayangan Jamaluddin. Sepatutnya Avenue mengenalpasti ruang di
mana FELDA boleh diswastakan. Dengan demikian, apa juga aset yang
berharga boleh diagihkan secara jualan murahan kepada para kroni
Jamaluddin. Walaupun Jamaluddin hanya merupakan seorang Menteri
Kewangan Kedua, beliau telah berlagak seolah-olah dia adalah Menteri
Kewangan Pertama. Justeru beliau telah melantik orang-orang yang rapat
dengannya yang sudah tentu merupakan kroni Najib juga, ke tempat yang
penting dalam penstrukturan itu. Apabila Abdullah naik menjadi Perdana
Menteri dan Jamaluddin dinyahkan daripada kedudukannya itu, Ethos
Consulting telah dibawa masuk untuk menggantikan Avenue Assets.
Orang-orang Jamaluddin telah dinyahkan untuk diganti oleh orang-orang
Khairy. Salah satu syor utama yang dikemukakan oleh Ethos Consulting
ialah penjualan aset sampingan, contohnya yang berada dalam industri
perbankan dan perkhidmatan. Dengan cepat Ethos telah membuat
cadangan agar orang-orang pilihan Khairy dilantik sebagai penasihat
dalam urusan itu dan sekali gus mereka menerima komisen yang tinggi
dalam urusan penjualannya. Ini bererti, komisen untuk Khairy mencecah
berjuta-juta ringgit dan dianggap tidak salah dari sisi undang-undang.
Apabila belum lagi dibuat keputusan terhadap kedudukan FELDA, Ethos
Consulting melakukan tugas bagi pihak Khairy untuk meneliti senarai
aset yang ada. Apa yang disebut sebagai penelitian untuk mengadakan
perubahan itu adalah bertujuan mencari jalan yang lebih licik bagaimana
Khairy boleh mengaut keuntungan yang besar. Para pengundi biasa
mempunyai kepercayaan bahawa orang politik menjadi kaya-raya secara
membolot kontrak, dan mengaut apa juga peluang yang ada. Hakikat
yang sebenarnya, amalan ini telah lama diketepikan oleh pemerintahan
Abdullah Badawi kerana mereka memilih cara mendapatkan komisen
melalui peranan sebagai penasihat kewangan kepada orang-orang yang
rapat dengan Perdana Menteri dan pasukan anak menantunya.


Kerana inilah maka Khairy mempunyai peranan sebagai Director of
Corporate Advisory (Pengarah Urusan Nasihat Korporat) dalam ECM
Libra. Memang jelas bahawa ini bukan pilihan utama beliau. Apabila
merebaknya desas-desus tidak ada orang yang bergeliga dalam pejabat
Perdana Menteri, maka Khairy memainkan peranan itu dalam setiap segi
jabatan itu. Khairy telah cuba mencari jalan yang boleh memberikan
beliau satu kedudukan yang sama besar pengaruh dan kuasanya seolaholah
dia bertugas di pejabat Perdana Menteri. Malah, beliau telah
lama mengidamkan satu jawatan yang perkasa bagi membolehkannya
mengumpul harta karun sehingga mampu menakut-nakutkan semua
musuh politiknya daripada kelompok lama dalam pejabat Abdullah
dan menutup mulut mereka untuk selama-lamanya. Itu sebabnya beliau
menggunakan helah penstrukturan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan
(GLC - Government Linked Companies) sebagai laluan untuk menjamin
kejayaannya.
Penstrukturan Khazanah merupakan peluang beliau yang pertama.
Ia bersandarkan penggunaan ‘Key Performance Index’ (KPI - Indeks
Prestasi Utama). KPI merupakan satu idea ‘nukilan’ Ethos Consulting
yang dikemukakan kepada kerajaan Malaysia. Sebenarnya rencana itu
seolah-olah ditiru daripada dasar kerajaan Singapura terhadap Temasek
Holdings, yang merupakan syarikat milik kerajaan yang terkenal di sana.
Dalam penstrukturan Khazanah, Khairy berharap beliau akan dilantik
ke jawatan yang paling penting, contohnya sebagai Chief Executive
Officer (CEO - Ketua Pegawai Eksekutif) . Akan tetapi para pekerja
yang bertugas di Khazanah merupakan pegawai kerajaan yang sudah
lama berkhidmat dan berpengalaman. Mereka ini tidak senang dengan
cadangan seorang anak muda yang baru berusia 28 tahun akan menjadi
Ketua Pegawai Eksekutif mereka. Lagi pun, Khairy tiada pengalaman
berniaga mahupun pengalaman bekerja di mana-mana. Kalau ada
pun, satu jawatan sementara yang pernah dipegangnya iaitu sebagai
wartawan sambilan kepada akhbar asing - dan itu pun untuk beberapa
bulan sahaja.
Lantas meluaplah tekanan dalam Khazanah untuk menolak Khairy.
Pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi telah berkumpul sesama
mereka untuk menghantar kiasan dan bisikan kepada Abdullah betapa
tindakan untuk melonjakkan Khairy adalah satu tindakan yang kurang
bijak dan tidak sihat untuk kerjaya politik beliau. Lebih-lebih lagi
beliau baru sangat menjadi Perdana Menteri. Mereka berhujah kalau
betul Abdullah mahukan seorang anak muda yang berpengalaman untuk


memimpin Khazanah, eloklah beliau memikirkan beberapa orang pakar
muda yang bertugas sebagai perunding dalam krisis ekonomi negara
pada 1977 dahulu lagi. Itu sebabnya Azman Khalid telah terpilih untuk
mengisi jawatan yang diidamkan oleh Khairy.
Akan tetapi Khairy tidak berputus asa. Pelantikan Azman sebagai CEO
mempunyai syarat jelas untuk menentukan dasar urusan Khazanah.
Tetapi akan dilantik seorang Chief Operating Officer (COO - Ketua
Pegawai Operasi) untuk urusan harian Khazanah. Azman telah dipanggil
oleh Menteri Kewangan Kedua, Mohd Nor Yakcop untuk membuat
pengumuman secara rasminya dan beliau telah diberikan cadangan agar
Khairy dilantik sebagai COO. Malah, Nor telah memberitahu Azman
bahawa Abdullah sudah pun memberikan arahan agar surat pelantikan
Khairy dibuat secara rasminya.
Azman tidak berkata apa-apa. Setelah berada di pejabatnya beliau telah
memanggil Khairy ke pejabatnya. Khairy beranggapan yang Azman
mahu memberitahu bila beliau boleh memulakan tugas sebagai seorang
COO. Dengan penuh keyakinan beliau masuk ke pejabat Azman dan
duduk secara selamba di sebuah kerusi yang bertentangan dengan
Azman. Secara selamba Azman mulakan perbincangan mereka dengan
menyebut betapa wujudnya satu jawatan dalam pertubuhan itu yang
patut diisi. Khairy menjawab yang dia sudah pun tahu hal itu. Azman
membalas bahawa nama Khairy ada disebut untuk mengisi jawatan
tersebut. Khairy menjawab lagi bahawa dia pun sudah tahu akan perkara
itu. Azman membalas dengan mengatakan yang Khairy mungkin
didapati sesuai mengisi jawatan tersebut. Oleh itu dan untuk memuaskan
penyelidikannya dia mahu Khairy mengemukakan satu ‘Curriculum
Vitae’ (CV) untuk membolehkan beliau membuat kepastian. Khairy
terkejut beruk dan meninggalkan bilik itu dengan serta merta.
Barulah Khairy sedar yang Azman dengan lemah lembut mengatakan
kepadanya yang dia tidak sesuai untuk jawatan itu dan dia memang tamak
dan haloba untuk mengisinya. Memang jelas Azman telah menyindir akan
kekurangan pengalaman Khairy dalam bidang ekonomi dan kewangan.
Walaupun Khairy pada mulanya memang amat marah terhadap Azman,
sebenarnya Azman telah menyelamatkan beliau daripada satu jerangkap
samar politik. Itu sebabnya dia membuat persiapan untuk mengisi
jawatan CEO Khazanah dan tidak lagi sebagai seorang COO pertubuhan
itu. Untuk melakukannya, Khairy perlu bertindak mencari sedikit
pengalaman yang berkaitan.


Khairy telah pergi berjumpa teman lamanya Kalimullah Hassan Mohamed
Hassan. Kali merupakan rakan tidur dalam satu rangkaian tiga gandingan
(troika) yang dianggotai oleh dua orang Cina dan seorang India yang
berjaya memajukan ECM Libra. Itulah sebuah syarikat yang dimajukan
sehingga menjadi berpengaruh dalam bidang kewangan. Kali faham
dan sedar yang Khairy akan kehilangan punca dalam bidang kewangan.
Sebagai seorang muda dalam dunia politik sudah tentu Khairy tidak ada
masa dan kesabaran untuk membaca butiran dalam penyata ‘discounted
cash flow’ dan penyata yang penuh angka. Lantas Kali mencadangkan
agar Khairy menganggotai ECM Libra sebagai seorang pakar seranta.
Dengan kata lain, Khairy akan menggunakan hubungannya dengan pihak
atasan untuk menjadikan ECM Libra lebih kaya-raya. Orang biasa yang
tidak tahu-menahu akan muslihat dunia kewangan akan beranggapan
jawatan Khairy sebagai penasihat korporat, tentulah ada kena-mengena
dengan kewangan. Di sebalik pangkat sebagai seorang pengarah itu
Khairy sebenarnya bukanlah seorang pengarah syarikat yang sebenar.
Sebagai seorang yang berjawatan pengarah ECM Libra, memang
nampaknya beliau adalah seorang yang berpangkat besar. Hakikatnya
dia bukanlah menganggotai Lembaga Pengarah syarikat itu. Penasihat
korporat adalah nama cantik yang berbau kewangan. Sebenarnya orang
yang memegang jawatan tersebut, seperti seorang jurujual luar biasa
yang membawa masuk bisnes kepada syarikat.
Para anggota Pemuda Umno tidak mengetahui yang Naib Ketua Pemuda
Umno hanya seorang jurujual yang diglamourkan menjadi gah. Namun,
pangkat yang gah itu bukanlah hiasan semata-mata. Khairy mempunyai
peluang untuk mengaut keuntungan yang bertimbun. Khazanah
merupakan sebuah badan milik kerajaan yang akan menjadi yang pertama
daripada banyak institusi kerajaan yang akan dibaham oleh Khairy.



















No comments:

Post a Comment